Majalah Indonesia namakan Tuan Ibrahim antara 7 menteri ekologi terbaik Asia - Utusan Malaysia

Majalah Indonesia namakan Tuan Ibrahim antara 7 menteri ekologi terbaik Asia

TUAN Ibrahim Tuan Man dinamakan antara tujuh menteri ekologi terbaik di benua Asia oleh oleh sebuah portal majalah asing.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Menteri Alam Sekitar dan Air, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man dinamakan oleh sebuah portal majalah asing sebagai antara tujuh menteri ekologi terbaik di benua Asia.

Menurut laporan Asia Business Info Magazine yang disiarkan menerusi laman sesawang rasminya baru-baru ini, beliau disenaraikan tempat keenam dalam kalangan menteri terbabit.

Kedudukan itu membolehkan Tuan Ibrahim mengatasi Menteri Alam Sekitar Korea Selatan, Cho Myung-rae di posisi terakhir dalam senarai Anugerah Antarabangsa 2020 berkenaan.  

Majalah berpusat di Makassar, Wilayah Sulawesi Selatan, Indonesia itu menamakan Menteri Lingkungan Hidup dan Kehutanan negara itu, Dr. Ir. Siti Nurbaya Bakar di tempat pertama.

Ini diikuti bekas Menteri Alam Sekitar dan Sumber Air Singapura, Masagos Zulkifli serta posisi berikutnya, Menteri Alam Sekitar, Perhutanan dan Perubahan Iklim India, Prakash Javadekar.

Seterusnya tempat keempat ialah Naib Presiden dan Ketua Jabatan Alam Sekitar Iran, Issa Kalantari serta kedudukan kelima iaitu Menteri Alam Sekitar New Zealand, David Parker.

 Anugerah terbaik di peringkat Asia itu juga meliputi pelbagai kategori antaranya ketua pegawai eksekutif, firma baharu, syarikat petroleum dan gas, bank komersial serta bank pusat.

 Yang turut disenaraikan dalam anugerah terbaik tersebut ialah kategori gabenor wilayah, menteri luar negara, menteri kewangan, pemimpin kerajaan atau negara dan syarikat penerbangan.

 Berita itu turut dikongsi ramai netizen tempatan dan ramai bangga kerana Tuan Ibrahim mampu ‘mengharumkan’ nama Malaysia meskipun baru sembilan bulan menerajui kementerian berkenaan.  

Nama para pemenang tersebut turut diumumkan ketika berlangsung program sambutan ulang tahun kelapan wadah portal berita kewangan Asia itu di Hotel Claro, Makassar baru-baru ini.

 Acara dibuat secara persidangan video maya bersama peserta dari seluruh dunia manakala tetamu di hotel itu kelihatan memakai pelitup muka dan duduk dengan mematuhi jarak fizikal. – UTUSAN ONLINE 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya