Mahu beli PS5 murah, rugi RM4,870 ditipu penjual online - Utusan Malaysia

Mahu beli PS5 murah, rugi RM4,870 ditipu penjual online

NOORZAINY MOHD. NOOR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BUTTERWORTH: Keterujaan seorang penuntut kolej swasta di sini yang mahu membeli konsol permainan video PlayStation 5 (PS5) pada harga murah menerusi dalam talian memakan diri selepas dia kerugian sebanyak RM4,870 akibat ditipu.

Dalam kejadian semalam, mangsa lelaki berusia 18 tahun itu pada mulanya melihat produk tersebut menerusi laman beli-belah dalam talian Shoppe sebelum berhubung dengan penjual menerusi aplikasi WhatApps.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara (SPU), Asisten Komisioner Noorzainy Mohd. Noor berkata,  mangsa diyakinkan oleh penjual tidak dikenali itu yang berkongsi gambar-gambar konsol berkenaan.

“Tertarik dengan tawaran harga PS5 yang dijual jauh lebih rendah berbanding harga pasaran itu, mangsa membuat bayaran ke akaun persendirian milik suspek sebanyak RM3,351.

“Sehari kemudian, mangsa menerima panggilan mendakwa daripada kurier yang meminta dia menjelaskan sebanyak RM1,519 bagi melepaskan barang itu kerana kononnya dihantar dari luar negara,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Menurut Noorzainy, mangsa tanpa berfikir panjang terus membuat bayaran itu namun tidak lama kemudian menerima panggilan kononnya daripada  Kastam yang meminta bayaran tambahan untuk melepaskan barang tersebut.

Bagaimanapun, mangsa yang kehabisan wang mula menyedari ditipu penjual dalam talian itu sebelum membuat laporan polis.

Sementara itu dalam kes berasingan, beliau berkata, seorang doktor di Kepala Batas dekat sini mengalami kerugian sebanyak RM10,800 selepas dipercayai menjadi mangsa sindiket jualan dalam talian tidak wujud.

Ujar beliau, mangsa wanita berusia 36 tahun itu mula terjerat ketika melayari laman sosial Instagram yang menjual beg tangan berjenama pada harga jauh lebih rendah berbanding pasaran.

“Mangsa membuat dua bayaran selepas berhubung dengan seorang perempuan Cina bagi urusan pembelian beg tangan itu.

“Bagaimanapun, mangsa berasa ditipu kerana masih belum menerima beg tangan yang dibeli selepas tamat tempoh penghantaran selain suspek turut memberi pelbagai alasan ketika ditanya berkenaan nombor penghantaran kurier sebelum membuat laporan polis semalam,” katanya.

Ujar beliau, kedua-dua kes itu disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan disebat serta boleh dikenakan denda jika sabit kesalahan. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya