Mahdzir ziarah keluarga pekerja TNB maut kemalangan - Utusan Malaysia

Mahdzir ziarah keluarga pekerja TNB maut kemalangan

MAHDZIR Khalid (kanan) mengunjungi keluarga kakitangan TNB, Allahyarham Ahmad Anwar Raspan di Ijok, Selangor.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA SELANGOR: Nasib keluarga seorang juruteknik Tenaga Nasional Berhad (TNB) yang maut dalam kemalangan motosikal baru-baru ini mendapat perhatian Pengerusinya, Datuk Seri Mahdzir Khalid.

Mahdzir mengunjungi keluarga Allahyarham Ahmad Anwar Raspan, 34, yang meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke tempat kerja di Klang.

Mahdzir dalam kunjungannya menyifatkan pemergian Allahyarham sebagai satu kehilangan besar kepada TNB.

“Allahyarham adalah seorang Juruteknik Tingkatan Kanan Metering yang berkhidmat di TNB Klang. Kehilangan Allahyarham sememangnya dirasai majikan dan rakan sekerja.

“Saya menzahirkan ucapan takziah kepada ahli keluarga atas tragedi yang menimpa Allahyarham.

“Malah, saya amat sedih dengan kejadian tersebut dan berharap seluruh ahli keluarga bersabar dengan dugaan tersebut. Semoga Allahyarham ditempatkan dalam kalangan umat yang beriman dan dikasihi Allah,” katanya ketika menziarah keluarga arwah di Ijok di sini hari ini.

Terdahulu, dalam kejadian pukul 8.30 pagi itu, Allahyarham Ahmad Anwar yang menunggang motosikal jenis skuter sedang menuju pulang ke tempat kerjanya di Klang terlibat dengan kemalangan.

Dalam kejadian di Jalan Puncak Alam, motosikal mangsa dipercayai dihimpit kereta sebelum terjatuh dan digilis sebuah lori sejauh 10 meter yang tidak sempat berhenti.

Allahyarham yang berasal dari Bukit Badong, Bestari Jaya itu meninggalkan seorang balu dan dua anak berusia tiga dan tujuh tahun. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN