IPOH: Tindakan melucutkan keahlian Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Titi Serong daripada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Hasnul Zulkarnain Abd. Munaim yang mengaku memberi sokongan kepada Pengerusi UMNO Perak, Datuk Saarani Mohamad dalam undi percaya dalam sidang DUN baru-baru ini, akan dilakukan parti peringkat Pusat.
Setiausaha Bersatu Perak, Datuk Zainol Fadzi Paharuddin berkata, Bersatu peringkat negeri tidak boleh membuat pengumuman mengenai pelucutan keahlian Hasnul sebaliknya perkara itu perlu mengikut prosuder parti.
Menurut Zainol Fadzi, beliau akan mengemukakan laporan mengenai perkara itu kepada ibu pejabat parti untuk tindakan selanjutnya.
“Kalau ikut peraturan parti, tindakan Hasnul itu menyebabkan keahliannya terlucut secara automatik tapi (untuk melucutkan keahlian) kena ada proses yang akan diputuskan oleh kepemimpinan tertinggi parti.
“Umum orang tahu keahliannya (Hasnul) sudah terlucut tapi belum secara bertulis, kena ada hitam putih, kalau tidak dia masih ahli.
“Kita akan buat secara formaliti, kena ada dokumentasi. Prosuder parti kena ikut, saya tak boleh umum dia dipecat, tiada siapa ada hak itu, kecuali ibu pejabat,” katanya ketika ditemui pemberita selepas mesyuarat Exco kerajaan negeri, di sini hari ini.
Menurut Zainol Fadzi, beliau telah menerima laporan daripada Bersatu Bahagian Parit Buntar mengenai pengakuan Hasnul itu.
“Semalam saya baru terima laporan dari Bersatu Parit Buntar tentang kenyataan terbuka Hasnul. Bersatu negeri akan bermesyuarat mengenainya dan hantar ke ibu pejabat, tindakan seterusnya serah kepada pusat,” katanya.
Semalam, Hasnul mengaku memberi sokongan kepada Saarani dalam undi percaya terhadap Menteri Besar ketika itu, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu semasa sidang DUN Perak.
Menurut Hasnul, tindakan itu kerana beliau percaya kesemua ADUN Bersatu dan UMNO tetap menandatangani akuan bersumpah atau SD menyokong Saarani menjadi Menteri Besar Perak yang baharu.
Hasnul bertindak menyokong Saarani kerana dikatakan kecewa disebabkan tidak diberi penglibatan dalam aktiviti parti khususnya di Bahagian Parit Buntar. – UTUSAN ONLINE