Luahan hati Cik B dalam 'Tolonglah' - Utusan Malaysia

Luahan hati Cik B dalam ‘Tolonglah’

NUR EDLYNN ZAMILEEN MUHAMMAD AMIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Selepas meraih populariti sebagai pelakon, anak jutawan kosmetik, Datuk Seri Vida iaitu Cik B kini muncul dengan single pertamanya berjudul ‘Tolonglah’ pada majlis pelancaran di sini semalam.

Lagu yang dihasilkannya sendiri dengan lirik gabungan Cik B dan ibunya itu dilancarkan serentak dengan muzik video yang dimuat naik di laman YouTube.

Cik B atau Nur Edlynn Zamileen Muhammad Amin, 15, ketika ditemui di rumahnya di Meru Heights di sini selepas melancarkan single itu berkata, lagu tersebut amat istimewa kerana menceritakan perjalanan hidupnya sejak kecil sehingga kini.

Malah katanya, judul lagu itu sendiri adalah interpretasi isi hatinya yang mahu khalayak faham bahawa kehidupan yang dilaluinya tidaklah seindah disangka.

“Lagu ini adalah tentang hidup saya, sejak kecil sehingga dewasa. Saya pernah didera oleh bibik (pembantu rumah), berhadapan dengan masalah keluarga dan isu diri saya sendiri.

“Orang ingat kehidupan saya selalu gembira, mereka tidak percaya saya lalui semua ini. Memang saya dilahirkan dalam dulang emas namun banyak perkara saya tempuh. Saya bukan seperti anak orang kaya lain,” katanya.

Cik B berkata, meskipun lagu Tolonglah itu siap pada Disember tahun lalu dengan muzik videonya pula pada awal tahun ini, namun dia hanya berani melancarkannya kini setelah berasa yakin untuk berhadapan umum.

Katanya, muzik video lagu itu diarahkan oleh Datuk Seri Vida yang mana pengambaran dijalankan di kediaman mereka dan gudang dengan setiap watak pula dilakonkan oleh kakitangan ibunya dan anak-anak mereka.

“Sepatutnya single ini keluar lebih awal tetapi ketika itu saya tiada kekuatan kerana masih malu dengan media, saya takut.

“Baru sekarang saya bersedia dan merasakan inilah masa yang tepat yang mana saya yakin dengan diri sendiri,” katanya.

Sementara itu ditanya mengenai kritikan warga maya yang bakal diterimanya, pelakon drama Lelaki Lingkungan Cinta itu menegaskan yang dia telah bersedia dan menganggap itu bukanlah masalah baginya.

“Saya bersedia dengan kritikan kerana sejak berusia 12 tahun lagi saya biasa dikecam. Malah untuk menyanyi secara langsung juga saya sudah bersedia kerana memang suara saya (menyanyikan lagu itu),” katanya.

Hingga pukul 8 pagi ini, jumlah tontonan muzik video yang diterbitkan dengan kerjasama DSV Entertaintment dan 17 Eleven Music itu sudah mencecah 147,000 tontonan dengan rata-rata penonton memberi komen positif tentang penampilan sulung anak gadis Datuk Seri Vida itu. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya