ALOR SETAR: Lima nelayan termasuk tekong warga Thailand ditahan selepas didapati menangkap ikan di kawasan kurang 15 batu nautika dari pesisir pantai barat Yan, dekat sini hari ini.
Bot pukat tunda tempatan Kelas C dinaiki nelayan warga asing itu ditahan Agensi Penguatkuasaajn (Maritim Malaysia) Zon Maritim Kuala Kedah dalam rondaan Op Aman di kedudukan empat batu nautika dari pesisir pantai tersebut, kira-kira pukul 5.30 pagi.
Pengarah Zon Maritim Kuala Kedah, Komander Maritim Mahmad Faizal Ahmad berkata, bot bersama lima warga Thailand berusia antara 31 tahun hingga 63 tahun itu ditahan kerana didapati menunda kurang 15 batu nautika dari pesisir pantai.
“Perbuatan ini adalah kesalahan di bawah Seksyen 8 (b) Akta Perikanan 1985 kerana melanggar syarat sah lesen.
“Mereka akan didakwa di mahkamah atas kesalahan melanggar syarat lesen yang sabit kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM20,000 atau penjara tidak lebih dua tahun atau kedua-duanya sekali,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Kata beliau, kesemua nelayan terbabit juga didapati melakukan kesalahan di bawah Seksyen 15 (4) Akta Imigresen 1959/63 kerana tinggal melebihi tempoh yang dibenarkan di negara ini.
“Bagi kesalahan di bawah Seksyen 15(4) Akta Imigresen 1959/63 pula, mereka boleh didenda tidak kurang RM10,000 atau penjara tidak lebih lima tahun atau kedua-duanya sekali,” ujarnya.
Menurutnya, bot bersama hasil tangkapan dianggarkan 1.5 tan metrik dibawa ke Jeti Zon Maritim Kuala Kedah untuk tindakan lanjut.
“Kesemua yang ditahan menjalani ujian saringan Covid-19 mengikut prosedur operasi standard ditetapkan,” ujarnya.
Beliau mengingatkan pengusaha bot nelayan supaya mematuhi undang-undang dan tidak melanggar syarat lesen perikanan yang diperuntukkan.
“Maritim Malaysia tidak berkompromi terhadap sebarang aktiviti yang melanggar undang-undang di perairan negara,” katanya. – UTUSAN ONLINE