Lewat siap kapal tempur, PAC akan panggil Ahmad Zahid - Utusan Malaysia

Lewat siap kapal tempur, PAC akan panggil Ahmad Zahid

AHMAD ZAHID HAMIDI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Bekas Menteri Pertahanan, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi akan dipanggil sebagai salah seorang saksi pada prosiding Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) susulan kegagalan pembekalan enam kapal tempur pesisir pantai (LCS) pada Januari depan.

Memaklumkan perkara itu, Pengerusi PAC, Wong Kah Woh berkata, kegagalan menyiapkan aset Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) itu amat serius kerana bukan hanya membabitkan kegagalan tadbir urus, perolehan dan kewangan tetapi turut memberi impak terhadap keselamatan negara.

Beliau berkata, selain Ahmad Zahid, saksi lain yang akan dipanggil ialah bekas Panglima Tentera Laut, Tan Sri Abdul Aziz Jaafar dan pihak Boustead Naval Shipyard Sdn. Bhd. (BNS).

“PAC Parlimen juga akan menjalankan lawatan tapak pembinaan LCS di Lumut, Perak. Pelantikan kontraktor utama iaitu BNS yang dilakukan secara rundingan terus. 

“Sehingga Oktober 2020, sejumlah RM6.083 bilion dibayar dan tidak ada sebuah pun kapal yang siap dibina. Mengikut jadual sepatutnya dua buah LCS telah siap dibina,” katanya ketika sidang akhbar di bangunan Parlimen.

Isnin lalu, Dewan Rakyat diberitahu Kabinet menolak penyelesaian pertama berhubung isu kelewatan pembinaan LCS iaitu dengan melantik firma Naval Group France sebagai kontraktor penyelamat untuk menyiapkan sekurang-kurangnya dua unit kapal tersebut.

Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, kini  tinggal dua lagi pilihan sama ada projek tersebut diserahkan kembali kepada BNS untuk diteruskan dengan pemberian RM3 bilion lagi atau menamatkan terus kontrak berkenaan.

Tambah Kah Woh, setakat ini sebanyak empat mesyuarat dan prosiding dengan saksi-saksi selesai dilakukan sejak November lalu.

Jelasnya, antara yang telah dipanggil ialah Ketua Audit Negara, Datuk Nik Azman Nik Abdul Majid dan Ketua Setiausaha Pertahanan, Datuk Seri Muez Abdul Aziz.

“PAC berhasrat melengkapkan dan membentangkan laporan berhubung isu ini ke Dewan Rakyat dalam sidang Parlimen Mac 2021,” ujarnya. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya