JOHOR BAHRU: Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Pekan Nanas telah membantu memindahkan seorang lelaki orang kurang upaya (OKU) yang terperangkap dalam kejadian banjir di Kampung Melayu Raya, Pekan Nanas, Pontian semalam.
Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Johor memaklumkan, selain mangsa tersebut, seorang lelaki dewasa juga dibantu dipindahkan ke pusat pemindahan sementara (PPS) Kampung Melayu Raya yang dibuka susulan kejadian itu.
“Pasukan Keluaran Operasi (PKO) BBP Pekan Nanas telah bertindak membantu memindahkan kedua-dua mangsa itu dalam kejadian yang berlaku pada pukul 11.12 malam setelah sekitar lokasi dinaiki air lebih kurang dua kaki.
“Anggota bomba memindahkan satu keluarga yang terdiri daripada satu lelaki dewasa dan seorang lelaki OKU ke PPS Kampung Melayu Raya dalam operasi ini,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Semalam, hujan melanda beberapa kawasan di negeri ini termasuk Johor Bahru dan Pontian.
Pada bulan lalu, Johor Bahru dan Pontian dilanda banjir kilat sehingga menyebabkan seramai 155 orang daripada 40 keluarga terjejas dan terpaksa dipindahkan ke PPS yang dibuka sejurus kejadian itu. – UTUSAN