Lelaki hambur kata-kata kesat kepada polis ditahan - Utusan Malaysia

Lelaki hambur kata-kata kesat kepada polis ditahan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Gara-gara menghamburkan kata-kata kesat terhadap polis trafik yang mengenakan dua saman kepadanya, seorang lelaki tempatan berusia 36 tahun ditahan ketika dia membuat laporan polis di Balai Polis Setia Indah, di sini kelmarin. 

Kejadian berlaku kira-kira 11 pagi ketika Polis Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (BSPT) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) JBS telah menjalankan Operasi Lampu Merah dan nombor pendaftaran tidak ikut spesifikasi di Jalan Mutiara Emas Putih, di sini, Khamis lalu. 

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan (JBS), Asisten Komisioner Mohd. Padzli Mohd. Zain berkata, semasa operasi dijalankan, sebuah kereta jenis Proton Wira ditahan kerana nombor pendaftaran tidak mengikut spesifikasi antaranya tidak timbul, berkilat dan ekzos diubah suai. 

Tambahnya, polis trafik itu telah mengeluarkan dua saman atas kesalahan mengubah suai ekzos dan menggunakan nombor pendaftaran tidak mengikut spesifikasi.

“Pemilik kereta itu tidak berpuas hati kerana disaman oleh polis trafik lalu merakam video anggota itu yang sedang menjalankan tugas ketika itu. Semasa hendak beredar, pemandu itu sempat mengeluarkan kata-kata kesat dengan nada yang kuat.

“Pada hari yang sama, pegawai polis BSPT IPD Johor Bahru Selatan telah membuat laporan polis terhadap pemilik kereta itu kerana mengeluarkan kata-kata kesat terhadap polis trafik yang menjalankan operasi,” katanya dalam kenyataan hari ini. 

Mohd. Padzli berkata, keesokan harinya, pemilik kereta Proton Wira itu hadir ke Balai Polis Setia Indah untuk membuat laporan, namun dia ditahan bersabit laporan yang dibuat ke atasnya. 

Katanya, semakan rekod jenayah lampau mendapati, suspek mempunyai rekod jenayah melibatkan kes dadah. 

“Suspek juga telah dibuat saringan air kencing dan keputusannya adalah negatif. Dia ditahan reman selama tiga hari bermula tarikh tangkapan sehingga esok.

“Pemandu di jalan raya dinasihatkan supaya mematuhi peraturan yang ditetapkan oleh undang-undang. Sekiranya terdapat kesalahan yang dilakukan, berilah kerjasama terhadap Polis yang sedang menjalankan tugas,” ujarnya. 

Kes sedang disiasat di bawah Seksyen 186 Kanun Keseksaan dan Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil 1955. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya