Lelaki 71 tahun rugi RM124,000 ditipu Macau Scam - Utusan Malaysia

Lelaki 71 tahun rugi RM124,000 ditipu Macau Scam

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BUTTERWORTH: Sindiket Macau Scam terus aktif mempedaya mangsa tanpa mengira sesiapa, kali ini seorang warga emas berusia 71 tahun pula menjadi mangsa melibatkan kerugian RM124,000.

Pesara lelaki berasal dari Kepala Batas dekat sini itu mula terjerat dengan sindiket penipuan terbabit bulan lalu selepas menerima panggilan daripada seorang lelaki yang mendakwa dia mempunyai tunggakan bil telefon sebanyak RM1,700.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd. Noor berkata, mangsa menafikan perkara itu kerana tidak pernah berdaftar dengan Telekom Malaysia serta tidak menggunakan perkhidmatan internet.

Bagaimanapun, katanya, mangsa diminta berurusan dengan individu yang mendakwa sebagai polis bernama Sarjan Juhairi dan Inspektor Herman di Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Kuantan, Pahang bagi menyelesaikan perkara itu.

“Dua ‘polis’ itu kemudian memberitahu mangsa adalah orang dikehendaki kerana terlibat kes pengubahan wang haram sebelum diminta memberikan maklumat akaun bank kononnya untuk tujuan audit dan siasatan.

“Mangsa turut diarahkan membuat pembayaran ke dalam empat akaun bank sebanyak RM101,000 secara berperingkat yang didakwa sebagai kos peguam,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Noorzainy berkata, suspek disyaki mengeluarkan wang daripada akaun bank mangsa apabila dia turut menyedari kehilangan wang sebanyak RM23,000 di dalam akaunnya.

“Dia bagaimanapun menyedari ditipu selepas suspek berterusan memintanya membuat bayaran tambahan.

“Secara keseluruhan mangsa kerugian RM124,000 sebelum tampil membuat laporan polis semalam,” katanya.

Beliau berkata, kes itu disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya