KUALA LUMPUR: Sambutan Hari Kesedaran AIDS Sedunia yang dianjurkan setiap 1 Disember di seluruh dunia berjaya mengurangkan jangkitan HIV/AIDS terutama dalam kalangan penagih dadah yang dahulunya menjadi punca utama jangkitan tersebut.
Program itu bertujuan meningkatkan kesedaran mengenai jangkitan HIV dan langkah-langkah pencegahan serta rawatan ke arah mengakhiri AIDS pada tahun 2030.
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Adham Baba berkata, negara ini telah menjalankan pelbagai aktiviti pencegahan, kawalan dan rawatan HIV/AIDS sejak tahun 1995 dan banyak perubahan positif yang berlaku.
“Malaysia pernah mencatatkan bilangan kes HIV tertinggi iaitu 6,978 kes pada 2002 dan menyaksikan penurunan kes sebanyak 50 peratus pada akhir tahun 2019,” katanya.
Menurut Adham, negara juga dapat mengekalkan kadar jangkitan vertikal HIV dari ibu dan anak pada kadar di bawah dua peratus dan memastikan ia tidak menjadi ancaman kesihatan awam.
Katanya, pelaksanaan program pengurangan mudarat dengan kerjasama pelbagai agensi kerajaan dan bukan kerajaan khususnya Majlis AIDS Malaysia berjaya mengurangkan jangkitan tersebut dalam kalangan mereka yang terlibat dengan dadah sekali gus pernah menjadi punca utama jangkitan ini.
“Menurut statistik, peratus jangkitan HIV dalam kalangan penagih dadah menurun dari 74.2 peratus (5,176 kes) pada tahun 2002 kepada 4.6 peratus (164 kes) pada tahun 2019,” katanya. – UTUSAN ONLINE