Lagi pegawai Imigresen ditahan berkaitan cap palsu - Utusan Malaysia

Lagi pegawai Imigresen ditahan berkaitan cap palsu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Lagi pegawai Jabatan Imigresen ditahan kerana disyaki meminta rasuah RM22,000 bagi melepaskan dua individu warga China menggunakan cap palsu.

Pegawai berusia 26 tahun yang bertugas di Bahagian Operasi Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) itu ditahan semalam.

Menurut sumber, suspek ditahan ketika menerima rasuah di sebuah stesen minyak berhampiran KLIA kira-kira pukul 7.45 malam.

Kata sumber, suspek ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Selangor kerana meminta rasuah sebanyak RM22,000 bagi melepaskan dua warga negara China yang ditahan Jabatan Imigresen kelmarin atas kesalahan menggunakan cap palsu.

“Kes ini tiada kaitan dengan Op Selat yang menahan beberapa individu terlibat dengan pemalsuan cap. Suspek bergerak secara bersendirian dan biasa melakukan perbuatan ini.

“Penahanan ini adalah lanjutan tangkapan seorang pengarah syarikat berusia 40 tahun di sebuah restoran di Cheras. Siasatan awal mendapati wang diterima ialah untuk seorang pegawai imigresen di KLIA,” kata sumber.

Kata sumber, modus operandi digunakan adalah pegawai imigresen memberikan ejen butir-butir warga China yang ditahan atas kesalahan imigresen di KLIA.

“Tugas ejen ialah menghubungi keluarga mereka di China untuk meminta wang rasuah bagi melepaskan diri daripada tahanan imigresen.

“Keluarga di China menghubungi rakan-rakan di Malaysia untuk membantu menyediakan wang dan menyerahkan wang kepada ejen.

“Ini isu keselamatan negara dan pegawai korup yang bertugas di pintu-pintu masuk memudahkan keluar masuk pendatang asing yang bermasalah ke Malaysia.

“Mereka tidak perlu lagi ikut jalan tikus dan mengharungi lautan bergelora untuk masuk ke Malaysia dan hanya menggunakan lapangan terbang untuk masuk,” ujarnya.

Sementara itu, kedua-dua suspek ditahan reman tujuh hari sehingga Rabu ini bagi membantu siasatan.

Perintah reman terhadap kedua-dua inidividu terbabit dikeluarkan Timbalan Pendaftar, Nor Azilah Mat di Mahkamah Shah Alam.

Terdahulu, kedua-dua suspek yang tidak diwakili peguam tiba di pekarangan mahkamah kira-kira pukul 10 pagi diiringi anggota SPRM memakai pakaian lokap suruhanjaya tersebut. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN