Ku Nan masih boleh dituduh bila-bila masa - SPRM - Utusan Malaysia

Ku Nan masih boleh dituduh bila-bila masa – SPRM

sokong Muhyiddin
TENGKU ADNAN TENGKU MANSOR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur yang melepas tanpa membebaskan Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor atas pertuduhan menerima rasuah RM 1 juta daripada seorang ahli perniagaan pada 2013 bukan bermaksud beliau dibebaskan sepenuhnya.

Menurut kenyataan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), bekas Menteri Wilayah Persekutuan itu masih boleh dituduh pada bila-bila masa sekiranya diberi keizinan mendakwa daripada Jabatan Peguam Negara.

Merujuk kes sama, SPRM difahamkan terdapat perkembangan baharu yang dikemukakan pihak tertuduh.

Katanya, ini termasuk satu laporan dibuat terhadap seorang saksi kes berkenaan yang memerlukan siasatan lanjut oleh SPRM.

“SPRM akan memulakan siasatan dengan perkembangan baharu tersebut dan mengemukakan semula kertas siasatan kepada Jabatan Peguam Negara untuk pertimbangan setelah semuanya selesai.

“Namun begitu, terdapat satu lagi kes Tengku Adnan yang masih menunggu keputusan dan tiada kena-mengena dengan keputusan mahkamah hari ini,” katanya.

Mahkamah Tinggi pagi tadi menerusi Hakim Mohd. Nazlan Mohd. Ghazali membuat keputusan itu selepas membenarkan permohonan pihak pendakwaan yang dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Julia Ibrahim.

Ujarnya, terdapat asas dalam permohonan pihak pendakwaan untuk membolehkan mahkamah membenarkan permintaan tersebut.

Terdahulu, Julia memaklumkan pihaknya memohon agar Ahli Parlimen Putrajaya itu dilepaskan tanpa dibebaskan daripada pertuduhan yang dihadapinya ekoran terdapat perkembangan terbaharu membabitkan salah seorang saksi dalam perbicaraan itu.

Difahamkan, saksi tersebut belum dipanggil memberi keterangan.

Tengku Adnan, 70, didakwa menerima rasuah RM1 juta daripada Eng Boon yang didepositkan ke dalam akaun CIMB Bank beliau sebagai dorongan untuk membantu permohonan Nucleus Properties Sdn. Bhd. menambah nisbah keluasan tanah untuk syarikat itu berhubung projek pembangunan di Lot 228, Jalan Semarak, Kuala Lumpur.

Beliau juga menghadapi pertuduhan pilihan iaitu dalam kapasitinya sebagai Menteri Wilayah Persekutuan menerima RM1 juta untuk dirinya daripada Eng Boon melalui cek Public Bank milik Pekan Nenas Industries Sdn. Bhd. yang didepositkan ke dalam akaun CIMB beliau, sedangkan beliau tahu bahawa Eng Boon, sebagai pengarah Nucleus Properties Sdn Bhd, mempunyai kaitan dengan tugas rasminya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN