MELAKA: Atlet terjun negara, Pandelela Rinong melepaskan kerinduan menyambut Hari Krismas di kampung dengan meraikan perayaan itu di negeri ini ekoran tidak pulang ke kampung halaman di Sarawak.
Pemenang pingat perak Olimpik Rio 2016 meraikan sambutan itu di rumah rakan baiknya yang juga atlet gimnastik negara, Tracie Ang di Taman Jati, Batu Berendam.
Kehadiran Pandalela bersama-sama tiga lagi atlet olahraga negara iaitu Connie Choo Kang Ni, 26; Chuah Yu Tian, 27, dan Benedict Ian, 21, disambut mesra Tracie sekeluarga yang menyediakan pelbagai juadah istimewa sempena Krismas.
Pandelela memaklumkan, dia tidak dapat pulang ke Kuching untuk menyambut Krismas ekoran kerajaan negeri itu mengenakan perintah kuarantin selama 10 hari terhadap orang ramai yang tiba dari luar Sarawak.
Namun, atlet berusia 27 tahun itu mengakui kerinduannya menyambut Krismas di kampung halaman sedikit terubat apabila dapat meraikan perayaan bersama sahabat handai.
“Memang terubat rindu kepada keluarga di kampung apabila kedatangan saya ke sini disambut cukup meriah, mereka menganggap saya seperti keluarga di sini.
“Sebelum ke sini saya juga membuat panggilan video bersama keluarga di Sarawak, jadi tiada istilah sunyi pada perayaan kali ini.
“Kita pun faham musim pandemik Covid-19, ada banyak perkara terbatas dan semua perayaan terpaksa disambut secara sederhana,” katanya yang kali terakhir pulang ke kampung halaman pada Jun lalu.
Mengulas mengenai perjalanan kariernya, Pandelela yang juga pemenang pingat gangsa Olimpik London 2012 berkata, fokusnya kini terarah kepada latihan dan persiapan untuk menghadapi Siri Terjun Dunia FINA yang bermula Februari ini.
Selain itu, dia juga mempersiapkan diri untuk Kejohanan Terjun Dunia FINA yang dijadual pada April tahun depan.
“Kedua-dua kejohanan ini bolehlah disifatkan sebagai aksi pemanas badan buat saya sebelum memberi tumpuan penuh kepada aksi Sukan Olimpik Tokyo yang dijadual berlangsung bermula 23 Julai hingga 8 Ogos 2021 nanti,” katanya. – UTUSAN ONLINE