SEREMBAN: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) menyasarkan terus mencari dan mengenal pasti pemborong serta premis stor yang menyimpan barang-barang tiruan sebelum diedarkan kepada peruncit.
Pengarah Penguat Kuasanya, Datuk Iskandar Halim Sulaiman berkata, apabila pihaknya dapat merampas barang-barang tiruan di peringkat pemborong, edaran barang-barang tersebut kepada peruncit juga dapat dihentikan.
“Sasaran kami adalah mencari di manakah pemborong-pemborong dan stor sebab kalau kita rampas di peringkat pemborong, edaran kepada peruncit terhenti. Dengan cara itu kita mengurangkan kerja pegawai untuk pergi cari peruncit.
“Memang barang tiruan ini datang daripada sumber yang murah dan kebanyakan dari China. Biasanya mereka import barang yang tiada jenama tetapi apabila sampai di sini mereka letakkan jenama berkaitan untuk jualan, ini yang kita bimbang,” katanya dalam sidang akhbar selepas menyempurnakan Majlis Pelupusan Ekshibit Perdana di Kompleks Penyimpanan Bahagian Penguat Kuasa KPDNHEP Putrajaya di Nilai, dekat sini hari ini.
Sementara itu, katanya, sepanjang tahun ini, pihaknya memeriksa sebanyak 731,102 premis dan daripadanya menghasilkan sebanyak 9,448 kes atas pelbagai kesalahan dengan nilai rampasan kira-kira RM74.09 juta.
“Peniaga di pelbagai peringkat rantaian perniagaan termasuk runcit, borong dan kilang yang melakukan kesalahan dikenakan kompaun mengikut jenis kesalahan dengan nilai kompaun sebanyak RM19.68 juta membabitkan 6,772 kes.
“Tindakan pendakwaan juga dikenakan ke atas peniaga yang melanggar undang-undang yang dikuatkuasakan melibatkan 35 kes dan mahkamah menjatuhkan denda sebanyak RM7.42 juta,” katanya lagi.
Sementara itu, menurut Iskandar Halim, pelupusan ekshibit hari ini adalah hasil rampasan daripada operasi yang dijalankan Putrajaya, Kuala Lumpur dan Selangor dan negeri-negeri berhampiran lain seperti Negeri Sembilan.
Tambahnya, pelupusan barang rampasan tersebut melibatkan kes di bawah pelbagai akta antaranya Akta Hak Cipta 1987, Akta Perihal Dagangan 2011, Akta Jualan Langsung 1999, Akta Cakera Optik 2000 dan Akta Perlindungan Pengguna 1999 membabitkan barang rampasan berkaitan cetak rompak, barang tiruan serta standard keselamatan.
“Sebanyak 2,822 kes melibatkan barang sitaan dilupus dan dijadikan hasil kerajaan seperti kutipan sementara dijadikan hasil kerajaan sebanyak RM2.23 juta, hasil jualan lelong, sebut harga, tender dan jualan terus sebanyak RM429,920, lucut hak kewangan melalui perintah mahkamah sebanyak RM1.77 juta serta pemusnahan barang kes bernilai RM32.06 juta.
“Sebagai rekod, nilai keseluruhan pelupusan barang kes yang dihasilkan adalah sejumlah RM36.49 juta. Secara keseluruhan, Bahagian Penguat Kuasa KPDNHEP melalui tindakan penguatkuasaan memperoleh sebanyak RM 14.05 juta hasil dalam tempoh Januari sehingga November 2020 dan dijadikan hasil kerajaan,” katanya. – UTUSAN ONLINE