LARUT: Tindakan tegas akan diambil terhadap pegawai dan anggota Jabatan Imigresen yang didapati terlibat dalam kes pemalsuan cap sempadan bagi membawa masuk warga asing secara haram.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, beliau memandang serius tindakan tidak bertanggungjawab segelintir warga jabatan itu yang menyalahgunakan pengesahan cop keluar dan masuk sempadan utama negara.
Menurut beliau, tindakan bersekongkol dengan sindiket juga memburukkan keadaan tambahan lagi negara sedang berdepan pandemik Covid-19.
“Semua sedia maklum, baru-baru ini ramai pegawai Imigresen ditangkap. Ini menunjukkan kita telah pun ada operasi-operasi untuk tentukan hanya pegawai-pegawai yang bertanggungjawab dan tahu bahawa kerja mereka adalah untuk kepentingan negara.
“Sesiapa yang melanggar dan bersubahat membawa orang luar masuk tanpa dokumen sehingga boleh membawa penyakit, saya akan minta ketua pengarah pastikan mereka ini diambil tindakan sewajarnya,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas Program Bakul Kasih Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) di Dewan Serbaguna Permai 2, Selama di sini hari ini.
Terdahulu, tular dakwaan terdapat pegawai Imigresen yang bersubahat dengan pemilik sebuah kilang di Selangor dengan membawa ribuan pekerja asing secara haram dari China.
Tindakan itu didakwa antara punca berlakunya peningkatan kes Covid-19 di Selangor.
Baru-baru ini, 44 individu termasuk 27 pegawai Imigresen direman bagi membantu siasatan berhubung sindiket pemalsuan cap memasuki dan keluar negara.
Mereka ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dalam Op Selat yang dijalankan dengan kerjasama Jabatan Imigresen di sekitar Putrajaya, Selangor, Johor, Sabah dan Sarawak. – UTUSAN