KUALA LUMPUR: Kementerian Kesihatan membelanjakan sebanyak RM1.17 bilion sehingga 31 Oktober lalu bagi pembelian peralatan, bekalan perubatan, kelengkapan perlindungan diri (PPE) serta perkhidmatan lain dalam usaha mengawal wabak Covid-19.
Timbalan Menteri Kesihatan II, Datuk Aaron Ago Dagang berkata, peruntukan tersebut turut digunakan untuk semua kemudahan termasuk hospital, klinik kesihatan dan klinik pergigian.
Selain itu, katanya, sebahagian besar perbelanjaan melibatkan bayaran Elaun Khas Covid-19 kepada petugas barisan hadapan berjumlah RM275 juta.
” Peruntukan turut digunakan bagi pembelian kelengkapan perlindungan diri (PPE) berjumlah RM262 juta serta pembelian ‘reagen’ dan test kit serta bayaran outsource perkhidmatan makmal swasta untuk ujian saringan Covid-19 berjumlah RM210 juta.
“Jumlah ini tidak termasuk bayaran emolumen petugas kesihatan yang terlibat dalam rawatan, kawalan dan pencegahan wabak Covid-19 yang mana diperuntukkan di bawah peruntukan sedia ada Kementerian Kesihatan,” katanya dalam sesi persidangan Dewan Rakyat hari ini.
Beliau menjawab Wan Hassan Mohd Ramli (Pas-Dungun) yang meminta kerajaan menyatakan jumlah perbelanjaan menangani COvid-19 sehingga 31 Oktober lalu. – UTUSAN ONLINE