KLANG: Sebuah kilang sarung tangan getah di Pelabuhan Utara, di sini dikompaun RM1,000 selepas didapati gagal mematuhi garis panduan ditetapkan Kementerian Kesihatan.
Pegawai Kesihatan Persekitaran Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Klang, Ily Sazwani Mashudi berkata, tindakan tersebut diambil selepas kilang berkenaan berpotensi menyebabkan jangkitan Covid-19 susulan tiada penjarakan fizikal.
Katanya, pengeluaran kompaun dilaksanakan mengikut Peraturan 10, Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 atau Akta 342.
“Hasil semakan mendapati terdapat 18 pekerja tinggal di bilik asrama itu walaupun majikan memaklumkan hanya 12 orang tinggal di situ.
“Pemilik kilang juga gagal melakukan disinfeksi dan sanitasi di dalam asrama pekerja sekurang-kurangnya dua kali sehari dan perlu direkodkan,”katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Terdahulu, Jabatan Tenaga Kerja Semenanjung Malaysia (JTKSM) bersama Jabatan Tenaga Kerja Bangidan PKD Klang melakukan Op Syarikat sebagai langkah pencegahan Covid-19 di sebuah kilang di Pelabuhan Utara hari ini.
Yang turut hadir Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) JTKSM, Mohd Asri Abdul Wahab.
Jelas Ily Sazwani, pemeriksaan semula akan dibuat terhadap kilang berkenaan dalam masa terdekat agar mematuhi prosedur standard operasi yang telah ditetapkan kementerian. – UTUSAN ONLINE