NIBONG TEBAL: Selepas Selangor, Johor, Melaka, Pahang dan Negeri Sembilan, kini Pulau Pinang pula dilaporkan menjadi destinasi ketukan misteri yang hampir saban malam menghantui penduduk.
Sejak beberapa hari lalu, heboh tentang kisah beberapa kediaman penduduk di negeri ini khususnya yang menetap di kawasan Taman Ilmu serta kawasan berhampirannya di Nibong Tebal tidak tidur lena akibat bunyi ketukan terbabit.
Perkara itu disahkan sendiri seorang penduduk Taman Ilmu, Norasmawati Allias yang mengakui kali pertama berdepan dengan bunyi ketukan misteri itu sejak tinggal di situ kira-kira empat tahun lalu.
“Kejadian ketukan itu berlaku dua malam berturut-turut dan pada malam ketiga, kami mengambil keputusan untuk memanggil ustaz.
“Selepas dia (ustaz) pasang ayat-ayat tertentu untuk ‘pagar’ rumah kami, Alhamdulillah, masuk malam ketiga, tiada lagi bunyi ketukan yang kedengaran,” katanya ketika dihubungi di sini semalam.
Mengulas lanjut, kata Norasmawati, ketukan yang bermula sejak tengah malam Selasa lalu itu kedengaran untuk tempoh selang sejam berdasarkan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di kediaman mereka.
“Suami saya seorang anggota polis dan dia beritahu bunyi tersebut memang bukan bunyi motor sebab sudah banyak bunyi ekzos yang dia dengar sebelum ini.
“Pada masa sama, dia juga tidak menggalakkan saya membuat laporan polis mengenai kejadian ini kecuali jika kembali berulang,” katanya yang percaya bunyi ketukan tersebut masih berlegar di sekitar taman perumahan yang didiaminya, namun di lorong yang berbeza.
Tambah Norasmawati, suaminya yang tidak mudah percaya kepada benda-benda mistik itu juga mengakui bunyi ketukan tersebut tidak pernah didengarinya sebelum ini.
“Pelik juga apabila ada suara-suara sumbang mengatakan bunyi tersebut adalah bunyi motosikal padahal malam itu suasananya sunyi sepi sahaja,” kata wanita berkenaan.
Dalam pada itu, seorang lagi penduduk, Abdul Razak Khamis, 50, yang tinggal di Taman Pekaka tidak jauh dari situ memberitahu, dia juga diganggu bunyi ketukan yang hampir sama kelmarin, namun untuk tempoh satu malam sahaja.
“Saya harap tidak ada sebarang petunjuk atau kejadian pelik yang akan berlaku susulan daripada ketukan misteri ini,” katanya. -UTUSAN