Kes Roger Ng bicara bersama - Utusan Malaysia

Kes Roger Ng bicara bersama

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Pihak pendakwaan dalam kes membabitkan bekas pegawai bank Goldman Sachs, Roger Ng Chong Hwa akan mengemukakan permohonan agar empat pertuduhan membabitkan penjualan nota sekuriti dan bon bernilai AS$6.5 bilion milik anak syarikat 1Malaysia Development Berhad (1MDB) yang kini berada di dua Mahkamah Tinggi berbeza, digabungkan dan dibicarakan bersama.

Timbalan Pendakwa Raya dari Suruhanjaya Sekuriti, Muhammad Izzat Fauzan ketika ditemui berkata, permohonan untuk perbicaraan bersama yang difailkan pada penghujung September lalu akan didengar pada 25 Februari ini.

“Pada masa ini, ada dua pertuduhan di hadapan Hakim Mohamed Zaini Mazlan manakala dua lagi di hadapan Hakim Muhammad Jamil Hussin. Kami memohon agar semua kes di hadapan Hakim Mohamed Zaini dipindahkan untuk didengar di hadapan Hakim Muhammad Jamil,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas pengurusan kes di hadapan Timbalan Pendaftar Mahkamah Tinggi, Catherine Nicholas yang turut dihadiri peguam bela, Cairns Tan yang mewakili Chong Hwa.

Chong Hwa atau turut dikenali sebagai Roger Ng kini berada di New York selepas diekstradisi pada Mei 2019 untuk berdepan pertuduhan oleh Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat (AS) berhubung skandal 1MDB. Perbicaraan kes itu telah ditetapkan selama enam minggu bermula Februari 2021.

Pada 19 Disember 2018, Chong Hwa mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini atas empat pertuduhan bersubahat dengan Goldman Sachs berhubung penjualan bon 1MDB bernilai AS$6.5 bilion dengan menggugurkan fakta material dan membuat kenyataan palsu.

Dia didakwa melakukan semua kesalahan itu di pejabat 1MDB, Tingkat 8, Menara IMC, No 8, Jalan Sultan Ismail di sini antara 19 Mac 2012 dan 11 November 2013. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya