Kes Addy Kanna: 29 pegawai, anggota polis termasuk deputi komisioner disiasat

Kes Addy Kanna: 29 pegawai, anggota polis termasuk deputi komisioner disiasat

ZAMRI YAHYA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Seramai 29 pegawai dan anggota polis termasuk seorang pegawai kanan berpangkat deputi komisioner disiasat bagi kes penipuan Macau Scam dan judi dalam talian membabitkan Addy Kanna.

Pengarah Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) Bukit Aman, Datuk Zamri Yahya berkata, semua individu itu disiasat secara menyeluruh terutama berhubung pemilikan nilai aset luar biasa berbanding jawatan dan gaji.

Beliau berkata, siasatan itu turut melibatkan seorang pegawai berpangkat inspektor yang dipercayai memiliki wang simpanan berjumlah RM1 juta.

“Kita sudah meminta penjelasan lanjut dan dia (inspektor) mendakwa wang itu diperoleh daripada bapanya. Kita masih menyiasatnya secara mendalam terutama berkaitan sumber sebenar wang tersebut.

“Kertas siasatan akan diserahkan kepada pihak atasan untuk rujukan hukuman terhadap semua anggota dan pegawai yang disiasat. Kita menjangkakan perkara ini selesai pada Januari ini.

“Siasatan dijalankan mengikut Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993 dan kita tidak menolak kemungkinan lebih ramai pegawai disiasat kelak,” katanya dalam sidang akhbar selepas majlis serah terima tugas Ketua Polis Selangor di Ibu pejabat Polis Kontinjen (IPK) negeri, di sini hari ini.

Terdahulu, Timbalan Ketua Polis Selangor, Datuk Arjunaidi Mohamed memegang jawatan Pemangku Ketua Polis negeri bagi menggantikan Datuk Noor Azam Jamaludin yang bersara wajib esok.

Oktober lalu, Alvin dan Addy ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) selepas disyaki terlibat dalam aktiviti penipuan Macau Scam dan judi dalam talian yang menyasarkan mangsa di China.

Sementara itu, Zamri memaklumkan, pihaknya menerima kira-kira 3,000 aduan berhubung salah laku warga polis di seluruh negara setiap tahun.

“Daripada jumlah tersebut, sebanyak 10 peratus atau 300 kertas siasatan dibuka untuk tindakan lanjut termasuk diberhentikan perkhidmatan.

“Kesalahan ini antaranya melibatkan kes dadah, tidak menjalankan tugas dan menjalin hubungan intim,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN