KUALA TERENGGANU: Hidangan kerang bakar bersaiz gergasi mencecah 20 sentimeter menjadi tarikan utama pelanggan yang singgah di gerai Penyu Corner di Pantai Batu Buruk di sini.
Pemiliknya, Rohana Omar berkata, makanan laut itu adalah yang terbesar pernah dijual di kedai-kedai di bandar raya ini.
Katanya, sambutan pelanggan amat menggalakkan dan dianggarkan 60 kilogram kerang laris setiap hari manakala pada hujung minggu pula mencecah 100 kilogram.
“Terdapat tiga saiz kerang yang dijual iaitu besar, sederhana besar dan sederhana dengan kesemuanya berharga RM15 semangkuk.
“Kerang yang besar, isinya lebih tebal dan kenyal,” katanya ketika ditemui pemberita di gerainya baru-baru ini.
Rohana yang berniaga di lokasi itu sejak 2019 berkata, bekalan kerang bersaiz besar diperoleh daripada pembekal dari Sabah, Perak dan Klang.
Katanya, jika bekalan terputus dia terpaksa menutup gerai yang diusahakan bersama suaminya, Ahmad Zikri Che Ali, 39, itu kerana tidak mahu mengecewakan pelanggan.
“Kebiasaannya bagi pelanggan yang dari jauh saya sarankan mereka menghubungi terlebih dahulu untuk memastikan sama ada kedai beroperasi atau tidak,” katanya yang mempunyai tujuh pekerja. – UTUSAN ONLINE