Kerajaan Sabah bantu usahawan teroka e-dagang - Utusan Malaysia

Kerajaan Sabah bantu usahawan teroka e-dagang

joachim
DR. Jochim Gunsalam (dua dari kanan) melihat produk usahawan tempatan ketika melancarkan platform e-Dagang GoBiz, di Kota Kinabalu hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA KINABALU: Kerajaan Negeri melalui Kementerian Pembangunan Perindustrian akan sentiasa memberikan bantuan kepada semua usahawan tempatan yang berkecimpung dalam bidang perniagaan termasuk dalam penerokaan dunia perniagaan digital.

Menteri Pembangunan Perindustrian, Datuk Dr. Joachim Gunsalam berkata, ini termasuk melalui penyediaan platform maya e-Dagang Go-Biz bagi menyokong usahawan tempatan di Sabah menceburi atau mengembangkan perniagaan mereka secara digital.

Beliau berkata, kementeriannya mengambil langkah membangunkan platform e-Dagang GoBiz ini bagi memasarkan produk tempatan dan membantu usahawan Sabah menjual produk mereka hingga ke peringkat global.

“Melalui platfrom ini ia akan dapat menambah jualan dan dapat mengurangkan beban dan kos pembiayaan mereka,” katanya ketika berucap pada majlis Pelancaran Platform E-Dagang GoBiz di Kota Kinabalu hari ini.

Dr. Joachim berkata, kaedah pemasaran ini juga dapat memberi suntikan semangat kepada usahawan-usahawan tempatan untuk terus menceburi bidang ini khususnya Industri Kecil dan Sederhana (IKS) dan usahawan mikro.

Katanya, sejak 1 November 2020, Kementerian Pembangunan Perindustrian sudah menerima lebih 500 permohonan penyertaan di seluruh Sabah termasuk daripada usahawan wanita.

“Saya percaya dan yakin ramai usahawan-usahawan baharu mahupun yang lama akan menyertai program ini dan mereka akan mendapat banyak manfaat daripada platform ini”, katanya.

Katanya, GoBiz adalah salah satu perkhidmatan yang terdapat dalam aplikasi GoNet yang boleh didapati melalui Apple Apps Store dan Google play.

Dr. Joachim yang juga Timbalan Ketua Menteri menekankan bahawa, sekarang adalah masa yang sangat sesuai untuk penggiat industri atau para usahawan tempatan berubah kepada kaedah pamasaran digital selari dengan norma baharu yang menjadi amalan masyarakat serta sesuai dengan zaman digitalisasi sekarang.

Katanya, perniagaan mereka harus berpindah kepada e-dagang dan e-pembayaran melalui aplikasi yang terdapat pada telefon pintar.

Menurut beliau, komitmen kerajaan pula adalah membantu pengusaha tempatan khususnya di luar bandar agar produk-produk mereka boleh didapati di platform digital dan dapat dijual melalui GoBiz secara langsung kepada pelanggan-pelanggan di seluruh Sabah selaian menembusi pasaran di seluruh Malaysia serta antarabangsa.

“Sudah pasti kita akan menghadapi banyak lagi cabaran. Antaranya seperti risiko kualiti produk-produk yang dijual yang tidak memuaskan hati, masalah teknikal, cabaran berkomunikasi diantara penjual dan pembeli, dan sebagainya.

“Apa jua pun masalah dan cabaran yang bakal dihadapi, pihak kerajaan dan pemaju GoNet bersedia untuk mencari jalan penyelesaiannya secepat mungkin demi memastikan kualiti aplikasi ini dijaga,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya