Keluarga Nora Anne minta wakil penyiasat antarabangsa - Utusan Malaysia

Keluarga Nora Anne minta wakil penyiasat antarabangsa

NIK Ezanee Mohd. Faizal hadir ke Kompleks Mahkamah Seremban, Negeri Sembilan bagi memberikan keterangan prosiding inkues kematian Nora Anne Quoirin.- UTUSAN/MUHAMMAD IZZAT TERMIZIE
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Keluarga Nora Anne Quoirin meminta polis membenarkan penglibatan wakil penyiasat antarabangsa ketika proses bedah siasat mayat gadis Ireland itu dilakukan.

Perkara itu diberitahu saksi ke-45, Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Nik Ezanee Mohd. Faizal ketika memberi keterangan di hadapan Koroner, Maimoonah Aid semasa prosiding inkues kematian Nora Anne, hari ini.

Pada prosiding hari ke-22 itu, Nik Ezanee berkata, selepas memaklumkan permintaan berkenaan, Timbalan Polis Negara ketika itu, Tan Sri Mazlan Mansor memberi kebenaran.

“Timbalan Ketua Polis Negara membenarkan kerana tiada apa yang ingin disembunyikan. Wakil penyiasat luar negara yang berada semasa proses bedah siasat itu ialah Laurent Collomb dari polis Perancis,” katanya.

Nik Ezanee ketika itu berperanan sebagai Pegawai Perhubungan kepada keluarga Nora Anne.

Menurut beliau, proses bedah siasat itu dilakukan pada 14 Ogos 2019 dan berlangsung kira-kira sembilan jam di Hospital Tuanku Ja’afar (HTJ), di sini.

“Seingat saya apabila Laurent keluar dari bilik bedah siasat, dia maklumkan tiada keraguan kerana pihak patologi lakukan dengan dengan profesional.

“Selepas itu saya juga ada menerima pesanan WhatsApp daripada Duta Besar Perancis ke Malaysia, Frederick Laplanche yang menzahirkan rasa penghargaan dan terima kasih,” tambahnya.

Nora Anne, 15, anak sulung kepada tiga beradik yang juga merupakan anak istimewa bersama keluarganya tiba di Malaysia untuk percutian selama dua minggu dan mendaftar masuk di sebuah resort di Pantai, Seremban pada 3 Ogos 2019.

Nora Anne kemudian dilaporkan hilang pada awal pagi keesokannya sebelum mayatnya ditemukan sembilan hari selepas itu.

Laporan awal bedah siasat mendapati kematian Nora Anne tidak mempunyai unsur jenayah dan disahkan mati akibat kebocoran usus yang berpunca kerana tidak makan dalam tempoh yang lama. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN