JOHOR BAHRU: Sebuah kelong berhampiran Pulau Merambong, Pontian, dekat sini musnah dalam kebakaran,semalam.
Komander Operasi, Pegawai Bomba Kanan II, Asmiza Zaini berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian pada pukul 12.30 tengah malam.
Menurut beliau, lapan anggota beserta sebuah jentera daripada Balai Bomba dan Penyelamat Iskandar Puteri ditugaskan ke lokasi kejadian.
“Berdasarkan maklumat diterima, kebakaran di kelong berkenaan bermula pada pukul 9 malam.
“Dalam kejadian itu, empat pekerja dan tujuh pelanggan menyelamatkan diri menggunakan sebuah bot,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Katannya, jarak kelong tersebut dengan Jeti Tanjung Kupang membabitkan perjalanan kira-kira 20 minit.
“Punca kebakaran dan anggaran kerugian masih dalam siasatan,” katanya yang memberitahu operasi kemudian ditamatkan pada pukul 1.07 tengah hari. – UTUSAN ONLINE