Kedah tetap mahu tuntut bayaran air mentah - Utusan Malaysia

Kedah tetap mahu tuntut bayaran air mentah

MUHAMMAD SANUSI MD. NOR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUBANG PASU: Kerajaan negeri tetap mahu menuntut bayaran bekalan air mentah Sungai Muda daripada Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP) bagi menampung kos pemuliharaan kawasan tadahan air di negeri ini.

Menteri Besar, Muhammad Sanusi Md. Nor berkata, walaupun tiada perjanjian ‘hitam putih’ dalam urusan bekalan air antara kedua-dua negeri itu, Parlimen sudah meluluskan
Akta Industri Bekalan Air 2006 dan penubuhan Lembaga Sumber Air Negeri Kedah (LSANK) untuk mengumpul pendapatan bekalan air mentah.

“Kita kena tuntut bayaran bekalan air mentah ini untuk kekalkan sumber air dari kawasan tadahan. Kita pula perlu pulihara kawasan tadahan supaya bekalan air mencukupi untuk kegunaan penduduk Kedah, Perlis dan Pulau Pinang.

“Jadi saya rasa dalam tamadun moden ini apabila sudah ada undang-undang dan akta baharu, kita perlu ikut, tak payah sampai ke mahkamah,” katanya selepas menyampaikan komputer riba dan pelan data kepada 50 penuntut daripada kategori B40 anak Kedah Universiti Utara Malaysia (UUM) di Sintok dekat sini, hari ini.

Hari ini, Kerajaan Negeri Pulau Pinang menegaskan tidak akan membayar tuntutan RM50 juta caj sumber air mentah setahun seperti dibangkitkan Muhammad Sanusi.

Menurut Ketua Menteri, Chow Kon Yeow, ini kerana penggunaan air oleh Pulau Pinang dari sungai khususnya di kawasan sempadan negeri ini adalah sejajar dengan hak dan undang-undang antarabangsa.

Semalam, Muhammad Sanus berkata, Kedah menuntut PBAPP menjelaskan bayaran sumber air mentah sebanyak RM50 juta setahun, sebelum mencampuri urusan berkaitan sumber air di negeri berkenaan.

Mengulas lanjut, Menteri Besar Kedah berkata, sikap berdiam diri PBAPP dengan tidak menjawab surat tuntutan Kerajaan Negeri Kedah berhubung bayaran bekalan air sejak tahun 2010 juga bukan cara terbaik untuk menyelesaikan sesuatu perkara berbangkit antara kedua-dua negeri.

“Sampai bila PBAPP akan berdiam diri dan tidak menjawab surat tuntutan Kerajaan Negeri Kedah, perbadanan itu sudah meraih keuntungan tinggi hasil bekalan air mentah Kedah,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya