SHAH ALAM: KDEB Waste Management (KDEBWM) sedia menawarkan perkhidmatan pengurusan sisa sampah berjadual kepada semua kilang perindustrian di Selangor.
Pengarah Urusan KDEBWM, Ramli Mohd. Tahir berkata, pihaknya kini dalam fasa akhir kajian sebelum membentangkannya kepada kerajaan Selangor tahun hadapan.
“Kita sedang mengkaji secara menyeluruh antaranya berkaitan faktor lesen selain jumlah dan jenis kilang yang ada. Kajian ini turut meliputi faktor kos dan logistik yang akan diperincikan pihaknya kelak.
“Sejurus selesai, kita akan menawarkan perkhidmatan pengurusan ini kepada kerajaan negeri untuk perincian lanjut,” katanya dalam sidang akhbar sempena majlis Penyerahan Kotaq Infaq di Ibu Pejabat KDEBWM di sini hari ini.
Terdahulu, kotak berisi barangan keperluan asas hasil sumbangan warga KDEBWM itu akan diagihkan kepada 145 penerima kurang berkemampuan dan terjejas akibat pandemik Covid-19.
Menurut Ramli, pihaknya tidak berniat untuk bersaing dengan syarikat lain namun mahu membantu kerajaan negeri dalam pengurusan sisa sampah kilang.
“Umum mengetahui terdapat ribuan kilang di Selangor dan berlakunya insiden pencemaran sungai sehingga menyebabkan gangguan bekalan air.
“KDEBWM mahu menerokai cabang perniagaan baharu menerusi perkhidmatan pengurusan itu sekali gus membantu mengurangkan risiko pencemaran,” ujarnya.
Dalam pada itu, Ramli memaklumkan jumlah kutipan sampah di negeri ini kekal pada anggaran 10,000 tan sehari sejak pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada Mac lalu.
“Jumlah itu melibatkan antara 6,500 hingga 7,000 tan sampah domestik manakala 3,000 pula bagi sampah perindustrian.
“Kita tidak menolak kemungkinan angka ini akan meningkat antaranya berikutan pertambahan penduduk dan kawasan perumahan baharu,” katanya. -UTUSAN ONLINE