Kawat duri 354 meter, kawalan 24 jam di Sukpa - Utusan Malaysia

Kawat duri 354 meter, kawalan 24 jam di Sukpa

ANGGOTA pasukan keselamatan memasang kawat duri di sekeliling Sukpa di Indera Mahkota di Kuantan, Pahang. -UTUSAN/SHAIKH AHMAD RAZIF SHAIKH MUSTAPA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUANTAN: Kawat duri sepanjang 354 meter dipasang mengelilingi Stadium Tertutup Kompleks Sukan Pahang (Sukpa), di sini bagi mengelak pesakit Covid-19 warganegara asing yang dikuarantin di situ melarikan diri.

Pengarah Majlis Keselamatan Negara (MKN) Pahang, Mohd. Zairasyahli Shah Zakaria berkata, masyarakat tidak perlu bimbang berhubung langkah pemilihan Sukpa sebagai pusat kuarantin kerana ia dikawal ketat petugas keselamatan 24 jam sehari.

Katanya, Sukpa ditentukan sebagai Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 (PKRC) sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) diumumkan yang bertujuan menampung kapasiti hospital apabila keadaan memerlukan.

“Pemilihan Sukpa juga kerana kes-kes positif Covid-ini (Kluster Genting) adalah dalam kalangan warga asing.

“Keutamaan rawatan di hospital kerajaan adalah untuk rakyat Malaysia. Kita tidak mahu akses rakyat Malaysia tersekat kerana dipenuhi oleh pesakit Covid-19 warga asing,” katanya dalam sidang akhbar selepas meninjau PKRC Sukpa, hari ini.

Mohd. Zairasyahli Shah berkata, seramai 115 pesakit Covid-19 iaitu kumpulan pertama dari Kluster Genting yang berisiko rendah dan tidak memerlukan rawatan khusus dikuarantin dengan kawalan ketat di Sukpa bermula esok.

“Seramai 115 pesakit warga asing dibawa ke Sukpa untuk kuarantin. Ujian saringan dilakukan ke atas 1,186 individu yang kesemuanya warga asing dan 119 daripada mereka didapati positif (semalam),” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis negeri, Datuk Seri Abd. Jalil Hassan yang turut hadir dalam sidang akhbar itu berkata, pihaknya terus memantau pergerakan di semua daerah di negeri ini bagi mengawal penularan pandemik tersebut.

“Polis yakin daerah-daerah lain masih terkawal melainkan Bentong yang berlaku (kes jangkitan) di luar jangka,” tambahnya.

Katanya, seramai 30 hingga 50 anggota keselamatan ditugaskan mengawal Stadium Tertutup Sukpa sepanjang tempoh kuarantin pesakit Kluster Genting di situ. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya