Kanak-kanak jatuh dari jejambat DUKE - Utusan Malaysia

Kanak-kanak jatuh dari jejambat DUKE

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Seorang kanak-kanak berusia lapan tahun parah apabila tercampak keluar dari kenderaan dinaikinya sebelum terjatuh dari jejambat dalam kemalangan di Kilometer 0.4 Lebuhraya Duta-Ulu Kelang (DUKE), berhampiran Jalan Tun Razak, Jumaat lalu.

Kejadian kira-kira pukul 5.40 petang itu berlaku ketika hujan lebat apabila Toyota Estima dipandu seorang lelaki berusia 41 tahun dalam perjalanan dari arah Gombak ke Jalan Tun Razak sebelum terbabas ketika melalui laluan berselekoh di situ serta melanggar tembok kiri jalan.

Akibat pelanggaran itu, mangsa yang dipercayai duduk di bahagian belakang kenderaan utiliti sukan (SUV) terbabit terhumban keluar daripada cermin sisi belakang kanan dan jatuh kira-kira 15 meter ke bawah dari jejambat di laluan itu.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Zulkefly Yahya berkata, mangsa jatuh di atas sebuah kereta SUV yang diparkir di hadapan bilik pameran sebuah kedai menjual kenderaan di Jalan Pahang.

“Kejadian mengakibatkan mangsa cedera retak paha kaki kiri namun bapanya terselamat tanpa sebarang kecederaan.

“Kanak-kanak itu kemudian dikejarkan ke Hospital Kuala Lumpur dengan ambulans untuk rawatan dan kini dia ditempatkan di Wad Kanak-kanak hospital berkenaan,”katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Video dari rakaman kamera litar tertutup (CCTV) berhubung kejadian itu tular dalam media sosial sejak malam tadi.

Video berdurasi 33 saat menunjukkan kanak-kanak itu terjatuh di atas kenderaan SUV diletakkan di sebuah kedai pameran kereta.- UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN