Jururawat, pemandu maut kenderaan dirempuh lori tangki - Utusan Malaysia

Jururawat, pemandu maut kenderaan dirempuh lori tangki

KEADAAN kenderaan pacuan empat roda yang dinaiki kakitangan Pejabat Kesihatan Pekan sejurus selepas terlibat kemalangan membabitkan tiga kenderaan di Kampung Tanjung Batu, Pekan, Pahang.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Jururawat, pemandu maut dirempuh lori tangki

Oleh MOHD. SHAHRULANOOR ISHAK
[email protected]

PEKAN: Seorang pemandu dan seorang jururawat meninggal dunia dalam nahas tiga kenderaan di Kilometer 32 Jalan Pekan-Nenasi-Rompin dekat Kampung Tanjung Batu di sini hari ini.

Dalam kejadian kira-kira pukul 10.20 pagi itu, pemandu Toyota Hilux milik Pejabat Kesihatan Daerah Pekan Mohd. Zuhairi Abdullah, 35, serta jururawat, Julayha Kudus, 39, meninggal dunia di tempat kejadian.

Rakan sekerja mereka yang merupakan Pegawai Perubatan Daerah, Muhd. Ikhwan Ramlee, 29, cedera di kepala dan dikejarkan ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA), Kuantan untuk menerima rawatan.

Ketua Polis Daerah, Superintenden Mohd. Razli Mohd. Yusof berkata, kenderaan pacuan empat roda berkenaan dirempuh sebuah lori tangki yang terbabas memasuki laluan bertentangan.

“Kemalangan berlaku apabila lori tangki berkenaan dalam perjalanan dari arah Rompin ke Kuantan dipercayai terbabas dan memasuki laluan bertentangan.

“Lori berkenaan merempuh kenderaan dinaiki mangsa yang maut serta sebuah lagi kereta jenis Perodua Myvi,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mohd. Razli berkata, pemandu Perodua Myvi yang merupakan seorang suri rumah, Azlida Mohamad Ramli, 41, serta anaknya, Nur Mawaddah Mazuha, 5, mengalami cedera di kepala, tangan dan muka.

“Mereka dirawat di Klinik Kesihatan Nenasi dekat sini manakala seorang lagi anak Azlida, Ahmad Qardhawi Najmi, 12, yang bersekolah di Sekolah Kebangsaan Pontian, Kuala Rompin tidak mengalami kecederaan,” katanya.

Tambah beliau, pemandu lori tangki berkenaan yang berusia 34 tahun dan berasal dari Mersing, Johor tidak mengalami kecederaan.

“Bedah siasat punca kematian masih dijalankan dan kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN