PUTRAJAYA: Lagu berjudul I’d would Do Anything For Love dan Nakal ternyata membawa tuah buat penyanyi Cliff Umar apabila dia dinobatkan sebagai Juara program Gegar Vaganza musim ketujuh (GV7) selain turut diangkat sebagai Bintang Paling Power Meow PowerCat.
Berlangsung di Pusat Konvensyen Putrajaya (PICC) malam tadi , Cliff Umar membawa pulang trofi dan wang tunai berjumlah RM100,000.
Kemenangan itu juga sekali gus menyaksikan Muss berada di tempat kedua manakala Ayu Damit adalah pemenang bagi tempat ketiga.
Selain itu, pemenang bintang Cuckoo Healthy Home dimenangi oleh Linda Nanuwil manakala Anugerah Digi Next Level minggu akhir dimenangi oleh Oja yang membawa pulang RM5,000.
Kesemua peserta diadili oleh juri tetap iaitu Datuk Ramli MS, Datuk Khadijah Ibrahim serta dua juri jemputan iaitu Datuk Syafinaz Selamat serta Joe Flizzow.
GV7 dikendalikan oleh pengacara terkenal, Nabil Ahmad dan Jihan Muse.
Naib juara program GV7 membawa pulang hadiah berupa trofi dan wang tunai RM50,000 manakala RM30,000 bagi tempat ketiga serta trofi.
Tempat keempat (Noraniza Idris), kelima (Linda Nanuwil), keenam (Oja), ketujuh (Ashira) pula masing-masing bakal membawa pulang wang tunai sebanyak RM20,000, RM15,000 dan RM10,000, RM 8,000 berserta trofi.
GV7 turut disertai oleh Kumpulan Eva, Rozita Ezlyn, Nomad, Aju Success, Yantzen, Kumpulan Indigo dan Haslinda. – UTUSAN ONLINE