Jalan 320km demi anak-anak kanser - Utusan Malaysia

Jalan 320km demi anak-anak kanser

MUCHLIS Eilyas mengharungi perjalanan sejauh 320 kilometer dari Bandar Penawar, Desaru, Johor ke Kuantan, Pahang bagi menjayakan kempen #Walk4CancerKids.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUANTAN: Seorang lelaki berusia 57 tahun berhati waja apabila sanggup ‘menginfakkan’ kakinya bagi menjayakan kempen #Walk4CancerKids dengan berjalan sambil menarik troli sejauh 320 kilometer bermula dari Bandar Penawar, Desaru, Johor ke daerah ini. 

Lelaki berkenaan, Muchlis Eilyas tiba di Taman Esplanade, di sini kira-kira pukul 11.15 pagi diiringi ahli dari pertubuhan bukan kerajaan (NGO), Kumpulan Ibu Bapa dan sokongan Anak-Anak Kanser Kuala Lumpur (KIDS). 

Turut serta Pengerus KIDS, Hamidah Tajudin. 

Muchlis ketika ditemui pemberita berkata, dia berjalan secara solo dengan menarik troli dan membawa bendera KIDS bermula 25 Disember lalu di Pantai Desaru. 

Katanya, kembara berjalan solo itu adalah inisiatifnya sendiri bagi menyokong KIDS dan berkempen menyampaikan maklumat penyakit kanser dalam kalangan kanak-kanak.

“Sepanjang perjalanan kempen, saya banyak menangis mengenang nasib kanak-kanak penghidap kanser, dalam masa yang sama orang ramai juga begitu memberikan sokongan sehingga ada yang empat kali berpatah balik kenderaan menyatakan sokongan. 

“Ada juga yang menghulurkan sumbangan. Sepanjang saya berjalan ke sini, orang ramai membuktikan bahawa mereka cukup cakna dengan nasib kanak-kanak yang menghidap sakit kanser,” katanya ketika ditemui pemberita di Taman Esplanade di sini semalam. 

Muchlis yang menetap di Kuala Lumpur berkata, sepanjang seminggu perjalanan ke bandar ini, dia membuka khemah dan tidur di mana-mana sahaja lokasi yang dirasakan selamat. 

“Alhamdulillah, saya selamat sampai di Kuantan demi menjayakan kempen #Walk4CancerKids, saya akan terus ‘mewakafkan’ diri untuk membantu golongan yang memerlukan. 

“Kembara solo ini baru sahaja permulaan, ada tiga lagi siri kempen selepas ini iaitu dari Kelantan ke Terengganu (Mac 2021), Kedah-Perak (Jun 2021) dan dari Melaka ke Johor pada November tahun depan, insya-Allah,” katanya. 

Sementara itu, Hamidah berkata, KIDS terharu dengan kesanggupan Muchlis berkorban demi anak-anak pesakit kanser. 

“Perjuangan seperti ini sebenarnya tidak terjangka di akal fikiran kami, ini kerana selama ini kami hanya fokus kepada menjaga kanak-kanak yang menghidap penyakit kanser. 

“Terima kasih kepada tuan haji (Muchlis) kerana bersama kami berkempen dan berjuang demi anak-anak kanser,” katanya sebak. – UTUSAN/SHAIKH AHMAD RAZIF SHAIK MUSTAFA

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya