Isteri Syafiq stabil, tangguh ke hospital swasta - Utusan Malaysia

Isteri Syafiq stabil, tangguh ke hospital swasta

MUHAMMAD Syafiq Ahmad menyiram air di atas pusara anaknya Muhammad Aisy Saqeef, 22 hari untuk dikebumikan dalam satu liang lahad bersama jenazah ibu mentuanya di Tanah Perkuburan Islam Bukit Murai, Kampung Padang Pusing, Pendang semalam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BUKIT MERTAJAM: Isteri kepada penyerang kebangsaan, Muhammad Syafiq Ahmad, 25, yang cedera dalam kemalangan jalan raya awal pagi semalam kini dalam keadaan stabil selepas menjalani pembedahan di bahagian perut di Hospital Seberang Jaya (HSJ) di sini.

Nur Amalina Norain, 25, sebelum itu dipindahkan dari Hospital Sungai Bakap (HSB) ke HSJ di sini selepas mengadu sakit di bahagian perut dan belakang anggota badannya akibat kemalangan berkenaan.

Berkongsi perkembangan terbaharu menantunya itu, bapa Muhammad Syafiq iaitu Ahmad Ibrahim, 56, berkata, dia bersyukur kerana segala-galanya berjalan dengan baik.

Namun, katanya, hajat untuk memindahkan Nur Amalina dan seorang lagi cucunya yang turut terlibat dalam kemalangan itu, Aaira Nur Saffiyya, 2, mendapatkan rawatan lanjut di sebuah hospital swasta sebelum ini terpaksa ditangguhkan buat masa ini.

Katanya, perkara itu susulan pembedahan berkenaan yang memerlukan menantunya itu berehat buat sementara waktu di hospital terbabit.

“Saya bersyukur kerana semuanya berjalan lancar dan kami (ahli keluarga) kini sedang menunggu keputusan dari pakar-pakar lain berhubung keadaan kesihatan terkini Nur Amalina, ” katanya.

Mengulas mengenai keadaan terkini Muhammad Syafiq pula, Ahmad memberitahu, anaknya itu kini mula berkomunikasi seperti biasa selepas kelihatan agak murung dan tidak bermaya sejak semalam.

“Dia (Syafiq) juga kini lebih bersemangat apabila memaklumkan kepada saya sejak awal pagi yang dia sudah bergerak dari Pendang, Kedah untuk melawat isteri dan anaknya di sini.

“Syafiq juga memberitahu saya mengenai keadaan isterinya kerana ketika ini, hanya dia sahaja yang dibenarkan masuk (ke dalam wad) dan daripada apa yang dimaklumkannya, mereka (menantu serta cucu) berada dalam keadaan baik,” ujarnya.

Dalam kejadian kira-kira pukul 4 pagi semalam, kenderaan Toyota Vellfire yang dipandu Muhammad Syafiq dilaporkan hilang kawalan dan merempuh pembahagi jalan sebelum terseret kira-kira 30 meter.

Ekoran kejadian itu, Muhammad Syafiq kehilangan anak lelakinya yang baru berusia 22 hari, Muhammad Aisy Saqeef dan ibu mentuanya, Zainan Wahab, 45, serta pembantu rumah mereka iaitu wanita warga Indonesia, Titik Sukamti, 30-an.

Ketika kejadian, kenderaan yang dinaiki oleh enam orang dengan dipandu oleh pemain tonggak skuad Johor Darul Takzim (JDT) itu dalam perjalanan dari Johor Bahru menuju ke Pendang, Kedah. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN