Ibu tunggal cekal jaga 3 anak OKU, penghidap SLE - Utusan Malaysia

Ibu tunggal cekal jaga 3 anak OKU, penghidap SLE

FAEZAH Hamid (kanan) menyuap makanan kepada Nor Farihan Salwani Ibrahim yang terlantar sakit kerana penyakit SLE di rumahnya di Kampung Kala, Gua Musang, Kelantan.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GUA MUSANG: Malang berganda buat seorang ibu tunggal apabila bukan sahaja perlu menjaga dua anak orang kurang upaya (OKU), malah seorang lagi anaknya kini terlantar sakit selepas disahkan menghidap penyakit Systemic Lupus Erythematosus (SLE).

Ibu kepada empat cahaya mata itu, Faezah Hamid, 41, yang tinggal di Kampung Kala, di sini juga baru sahaja kematian suaminya, tiga bulan lalu.

Dia kini terpaksa membahagikan masa antara menjaga anak-anak dan keluar mencari rezeki untuk mereka.

Faezah berkata dia kini bekerja sebagai pembantu dengan upah RM20 sehari di sebuah kedai makan kira-kira 15 meter dari rumahnya dan sentiasa berulang-alik untuk memantau anak-anak.

Katanya, dia bersyukur apabila anak ketiganya, Nor Fatin Sarmila Ibrahim, 16, yang normal mampu membantunya menguruskan rumah ketika ketiadaannya.

      “Anak kedua, Mohamad Haikal Ikhwan Ibrahim, 18, menghidap penyakit saraf dan anak bongsu, Mohamad Safiq Nasaruddin, 15, remaja lembam adalah  pelajar Kelas Pendidikan Khas Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tengku Bendahara di Kampung Jerek.

“Anak sulung, Nor Farihan Salwani, 22, yang sebelum ini bekerja sebagai pembantu rumah menghidap penyakit SLE atau radang sendi mengakibatkannya tidak boleh berjalan,” katanya ketika ditemui pemberita di rumahnya hari ini. 

Terdahulu, keluarga terbabit menerima kunjungan rombongan Kelab Jalinan Ikatan Kasih (JIK) Gua Musang yang diketuai Pengerusinya, Shamsina Ahmad Kamal. 

Faezah berkatai, anaknya Nor Farihan Salwani menghidap penyakit SLE tiga bulan lalu, iaitu selepas kematian suaminya, Ibrahim Senik akibat jangkitan kuman pada paru-paru.

Katanya, sebelum dikesan menghidap penyakit terseburlt, Nor Farihan Salwani menghadapi bengkak di kawasan muka serta tubuh dan tidak lama selepas itu dia tidak boleh berjalan.

Sementara itu, Shamsina berkata, pihaknya bersimpati dengan nasib Faezah dan mengambil inisiatif melawat serta menyampaikan bantuan makanan asas kepada keluarga itu.

Katanya, kisah keluarga Faezah diketahuinya daripada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Nenggiri, Ab. Aziz Yusoff yang pernah menyampaikan bantuan kepada mereka.

Orang ramai yang bersimpati dengan keluarga Faezah boleh membantunya menerusi akaun Bank Islam milik anak sulungnya Nor Farihan Salwani Ibrahim 03063020461654 atau menghubunginya di talian 0178133296. – UTUSAN ONLINE 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya