Hutang bekalan air Pahang RM2.074 bilion dihapus kira, dinovasikan - Utusan Malaysia

Hutang bekalan air Pahang RM2.074 bilion dihapus kira, dinovasikan

WAN Rosdy Wan Ismail (belakang, tiga dari kiri) dan Tuan Ibrahim Tuan Man (belakang, tiga dari kanan) menyaksikan majlis menandatangani Perjanjian Penstrukturan Semula Industri Perkhidmatan Bekalan Air Pahang di Hotel Zenith di Kuantan, Pahang, semalam. - UTUSAN/SHAIKH AHMAD RAZIF SHAIK MUSTAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUANTAN: Hutang bekalan air Pahang kepada kerajaan Pusat berjumlah RM2.074 bilion dihapus kira dan dinovasikan menerusi penstrukturan semula industri perkhidmatan bekalan air negeri.

Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, pada 6 September 2018, kerajaan negeri menerusi suratnya kepada Menteri Air, Tanah dan Sumber Asli pada ketika itu menyatakan persetujuan untuk menstruktur semula industri Perkhidmatan Bekalan Air di Pahang.

Selaras dengan persetujuan itu, katanya, pada 29 Mei 2019, kerajaan Persekutuan meluluskan hapus kira hutang projek Bekalan Air Luar Bandar (BALB) berjumlah kira-kira RM1.001 bilion.

Katanya, jumlah itu adalah sebahagian daripada keseluruhan hutang bekalan air kerajaan negeri sebanyak kira-kira RM2.074 bilion.

“Baki hutang sebanyak kira-kira RM1.073 bilion lagi turut dinovasikan dan ditanggung oleh Pengurusan Aset Air Berhad (PAAB). Sehubungan itu, aset bekalan air dalam bentuk struktur seperti Loji Rawatan Air (LRA) dan tanah yang setara dengan nilai baki hutang sebanyak kira-kira RM1.073 bilion diberi milik kepada PAAB untuk tempoh 45 tahun.

“Aset bekalan air ini pula kemudian dipajakkan semula kepada Pengurusan Air Pahang Berhad (Paip) dengan membayar sewa pajakan kepada PAAB selama 45 tahun juga. PAAB pula membayar baki hutang kerajaan negeri RM1.073 bilion itu kepada kerajaan Persekutuan dalam tempoh 25 tahun,” katanya ketika berucap pada majlis menandatangani Perjanjian Penstrukturan Semula Industri Perkhidmatan Bekalan Air Pahang, di sini semalam.

Yang hadir sama Menteri Alam Sekitar dan Air, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man; Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Seri Dr. Sallehuddin Ishak; Ketua Setiausaha Kementerian Alam Sekitar dan Air, Datuk Seri Ir. Dr. Zaini Ujang; Pengerusi PAAB, Datuk Seri Hasan Arifin dan barisan Exco kerajaan negeri.

Mengulas lanjut, Wan Rosdy berkata, PAAB bertanggungjawab membiayai perbelanjaan modal bagi projek-projek pembangunan berkaitan aset bekalan air baharu bagi kerajaan negeri.

“Sukacita disebutkan bahawa manfaat paling besar yang kerajaan negeri peroleh daripada Penstrukturan Industri Perkhidmatan Bekalan Air Pahang ini adalah terhapus kira hutang dengan kerajaan Persekutuan untuk kerja-kerja berkaitan perkhidmatan bekalan air selama ini, sebanyak kira-kira RM2.074 bilion. Ia bukan kecil.

“Berbanding Belanjawan 2021 Negeri Pahang berdasarkan anggaran hasil negeri tahun depan kira-kira RM800.798 juta misalnya, bermakna, ia (RM2.074 bilion) lebih tiga kali ganda atau hasil negeri selama tiga tahun diperlukan untuk melunaskannya yang tentunya amat mustahil untuk dilakukan,” katanya.

Oleh itu jelasnya, Penstrukturan Industri Perkhimatan Bekalan Air Pahang pilihan terbaik yang mesti diambil kerajaan negeri daripada terbiar isu hutang itu tertangguh sekian lama.

“Isu hutang inilah juga jika kita masih ingat telah dipolitikkan oleh Menteri Kewangan era pemerintahan 22 bulan Pakatan Harapan (PH) semasa kempen Pilihan Raya Kecil Parlimen Cameron Highlands, 26 Januari 2019.

“Namun dalam tempoh kempen ketika itupun, saya telah menjawab balas kepada Menteri Kewangan berkenaan betapa penstrukturan ini telah menetapkan tentang terhapus kiranya hutang-hutang tersebut,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, sudah tentu ada pengorbanan yang perlu kerajaan negeri lakukan dalam bentuk aset-aset bekalan air seperti LRA dan tanah yang setara dengan nilai baki hutang RM1.073 bilion, yang diberi milik kepada PAAB untuk tempoh 45 tahun.

Namun, katanya, pemberi milikan itu sah untuk tempoh 45 tahun dan setelah tamat tempohnya, aset-aset berkenaan dikembalikan kepada kerajaan negeri sebagai pemilik asalnya.

“Selama tempoh 45 tahun ini, kerajaan negeri tidak perlu bimbang tentang soal keperluan menyediakan peruntukan besar bagi menampung kos penyelenggaraan aset-aset itu lalu penjimatan tersebut boleh disalurkan kepada hal-hal lain berkaitan pembangunan negeri untuk kesejahteraan rakyatnya,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya