PETALING JAYA: Tapak tragedi runtuhan kondominium Highland Towers perlu dibangunkan dengan sesuatu yang boleh memberi manfaat kepada kawasan sekitar, rakyat dan kerajaan seperti projek perumahan atau taman rekreasi.
Pengerusi Bukit Antarabangsa Task Force 850 (BATF 850), Datuk Albakri Ali berkata, memandangkan persekitaran kawasan berkenaan kini hijau dan tenang, lebih baik projek perumahan dibangunkan di situ, sekali gus menjadikan kawasan itu tidak sunyi seperti sekarang.
“Tak perlu bangunan tinggi, cukup sekadar rumah teres kos rendah atau sederhana untuk didiami rakyat. Selain itu, tapak itu juga boleh dibangunkan sebagai taman rekreasi atau taman burung dengan dikenakan sedikit bayaran kepada pengunjung.
“Kerajaan membelanjakan RM8.9 juta hanya untuk mengambil alih tanah itu, jadi sebaiknya kerajaan mengutamakan pembangunan yang memberi pulangan kepada kerajaan,” katanya kepada Mingguan Malaysia ketika dihubungi, semalam.
Ketika ditanya mengenai cadangan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin untuk membina tapak bersejarah di kawasan runtuhan itu, Albakri menganggap langkah itu sebagai tidak perlu.
“Sebagai wakil penduduk, saya merasakan tidak perlu kita buat tugu peringatan atau tapak bersejarah di lokasi tersebut kerana ia melambangkan kegagalan projek selain tidak memberikan sebarang keuntungan kepada mana-mana pihak.
“Tujuan utama pengambilalihan tanah tersebut adalah untuk menghilangkan trauma mengenai tragedi runtuhan kondominium itu kerana sesiapa sahaja yang melalui kawasan ini sudah tentu terganggu dengan bangunan lama yang menakutkan.
“Oleh itu, usaha ini lebih baik digunakan sebaik-baiknya supaya memberi manfaat kepada semua pihak,” ujarnya.
Tragedi Highland Towers pada 11 Disember 1993 menggemparkan negara, apabila satu daripada tiga blok kondominium yang terletak di Taman Hillview, Ulu Klang runtuh, dan meragut 48 nyawa. -UTUSAN