Helah sembunyi dadah dalam teh terbongkar - Utusan Malaysia

Helah sembunyi dadah dalam teh terbongkar

AYOB Khan Mydin Pitchay menunjukkan bungkusan dadah dalam sidang akhbar di IPK Johor, hari ini. - UTUSAN/MOHAMAD FAIZAL HASHIM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Satu sindiket penyeludupan dadah antarabangsa didapati menyembunyikan dadah dalam bungkusan teh Cina dan disumbat dalam tong minyak bagi mengelak dikesan pihak berkuasa.

Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, modus operasi kumpulan itu dikesan polis selepas tiga ahlinya dicekup dalam empat serbuan di Kota Tinggi pada Ahad hingga semalam.

Dalam serbuan itu, kata beliau, pihaknya merampas dadah jenis syabu seberat 31.25 kilogram bernilai RM1.4 juta.

“Dalam operasi khas ini, tangkapan dibuat membabitkan dua lelaki tempatan bersama seorang lelaki warga Indonesia berusia lingkungan 33 tahun hingga 46 tahun.

“Tangkapan pertama dilakukan pada pukul 7.15 malam melibatkan dua suspek termasuk lelaki Indonesia ketika sedang menunggu bot di Pantai Batu Layar, Kota Tinggi, Ahad lalu.

“Susulan tangkapan itu, polis mengesan seorang lagi rakan suspek dan menahannya pada pukul 2.30 pagi di Bandar Penawar, Kota Tinggi, semalam,” katanya pada sidang akhbar di Ibu pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor, di sini hari ini.

Menurut Ayob Khan, operasi khas itu dijalankan Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah Dua dan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) yang melakukan empat serbuan di Kota Tinggi dan Johor Bahru.

“Tiga suspek yang ditahan dipercayai bertindak sebagai runner (penghantar) dengan menggunakan bot untuk menyeludup dadah ke Indonesia,” katanya.

Katanya, dalam serbuan tersebut, polis turut merampas sebuah kereta Honda Civic yang digunakan suspek dalam kegiatan penyeludupan terbabit.

Tambahnya, dadah jenis syabu yang dirampas untuk kegunaan kira-kira 312,500 penagih dipercayai diperoleh daripada utara tanah air untuk diseludup ke Indonesia menggunakan jalan laut.

Jelasnya, siasatan awal mendapati sindiket penyeludupan dadah berkenaan beroperasi sejak Mac lalu namun operasinya terencat apabila kerajaan memperketatkan kawalan perairan apabila Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan.

“Kita percaya bekalan dadah yang dirampas ini sepatutnya dihantar pada Mac lalu namun terbantut setelah PKP dilaksanakan. Sindiket ini mungkin mempunyai kaitan dengan sindiket lain di negeri ini.

“Kita masih lagi menjalankan siasatan lanjut dan menggiatkan usaha mengesan saki baki ahli sindiket berkenaan,” katanya.

Kesemua suspek ditahan reman tujuh hari sehingga 13 Disember ini untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 39B dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.

Beliau berkata, hasil saringan air kencing mendapati dua suspek positif dadah jenis methamphetamine manakala hasil semakan rekod mendapati dua suspek mempunyai rekod lampau berkaitan jenayah. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya