Hakisan pantai di Teluk Lipat, Teluk Gadung makin meruncing - Utusan Malaysia

Hakisan pantai di Teluk Lipat, Teluk Gadung makin meruncing

TREK joging antara kemudahan yang musnah akibat hakisan pantai yang serius di Pantai Teluk Gadung di Dungun, Terengganu.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

DUNGUN: Masalah hakisan pantai sejauh kira-kira 10 kilometer dari Pantai Teluk Lipat ke Teluk Gadung, di sini yang berlarutan sejak dua tahun lalu kini semakin meruncing hingga membimbangkan penduduk.

Tinjauan mendapati beberapa laluan jalan utama turut dilimpahi air laut berikutan ombak kuat akibat fenomena air pasang besar.

Seorang penduduk, Mohamad Azmi Hussin, 67, berkata, masalah hakisan pantai di kawasan itu bukan sahaja membahayakan pengguna jalan raya, malah boleh mengancam nyawa orang ramai yang berkunjung ke pantai tersebut.

“Sebelum ini hakisan hanya berlaku di Pantai Teluk Lipat tetapi sekarang sudah merebak hingga ke Teluk Gadung.

“Sepanjang musim tengkujuh, kesan hakisan bertambah ketara dan kita risau kejadian runtuhan jalan raya berulang,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Bagi seorang peniaga, Masitah Mad Zin, 56, kejadian hakisan bukan sahaja mengubah wajah pantai tersebut, malah turut menjejaskan perniagaannya di Medan Selera Pantai Teluk Gadung sejak beberapa tahun kebelakangan ini.

“Sebelum ini ada kemudahan untuk orang awam beriadah tetapi semuanya sudah musnah dan kawasan ini semakin suram tanpa pengunjung hingga ramai peniaga yang gulung tikar,” katanya.

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sura, Wan Hapandi Wan Nik berkata, kerja-kerja membaik pulih sedang dilakukan kontraktor dilantik menerusi peruntukan sebanyak RM90 juta disalurkan kerajaan Persekutuan untuk mengatasi masalah hakisan di Terengganu. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya