KLANG: Dilahirkan sempurna tetapi tiada siapa menyangka insiden digilis kereta api di kampung halamannya 28 tahun lalu mengubah kehidupannya.
Mohd. Izhar Abdul@Saidun, 59, berkata, dia yang tidak dapat menerima hakikat perubahan fizikalnya cuba bunuh diri empat kali.
“Antaranya pernah menelan sejumlah pil ketika berada dalam jagaan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).
“Alhamdulillah, saya kembali tersedar apabila merenung ungkapan ‘Allah tidak akan mungkir janji, jaga lima waktu’ ketika membaca sebuah majalah,” katanya ketika ditemui di rumah sewanya di Johan Setia di sini hari ini.
Selepas itu, bekas atlet paralimpik negara berkenaan berkata, dia semakin pulih dan menerima takdir hidupnya yang terpaksa berkerusi roda.
“Malah, ungkapan tersebut masih menjadi azimat untuk meneruskan hidup walaupun kini diisytiharkan muflis kerana gagal dalam perniagaan,” ceritanya.
Terdahulu, Mohd. Izhar dan isteri, Salmah Amran, 53, yang juga orang kelainan upaya (OKU) menerima lawatan Yayasan Kebajikan Atlet Kebangsaan (YAKEB) dan Mimbar Permuafakatan Ibu bapa Malaysia (Selangor).
Turut hadir, Pengerusi YAKEB, Datuk Noorul Ariffin Abdul Majeed dan Yang Dipertua Mimbar Permuafakatan Ibu bapa Malaysia (Selangor), Datin Seri Ismalina Ismail.
Mengulas lanjut, pemenang pingat gangsa Sukan Paralimpik ASEAN di Sintok, Kedah pada tahun 90-an itu berkata, dia dan isteri berhasrat memiliki kediaman sendiri.
Menurut Mohd. Izhar yang kini menjual perabot palet terbuang dan membaiki kerusi roda, dia sudah 30 tahun hidup menyewa rumah.
“Saya berharap ada pihak sudi mempermudahkan urusannya untuk memiliki kediaman sendiri. Bukan mahukan rumah secara percuma sebaliknya mahu membayar kediaman mengikut kemampuan.
“Saya pernah memohon membeli rumah tetapi tidak lulus kerana tidak memenuhi syarat selain diisytiharkan muflis.
“Rumah yang saya duduki kini disewa RM800 sebulan dan separuh daripadanya dibayar Lembaga Zakat Selangor (LZS),” ujarnya.
Sementara itu, Noorul Ariffin berkata, pihak YAKEB akan mencari jalan bagi membolehkan Mohd. Izhar memiliki kediaman sendiri.
“Buat masa ini, Mohd. Izhar dibantu melalui pemberian bantuan kewangan bulanan RM300 untuk enam bulan yang akan mula dibayar Januari hadapan,” katanya.- UTUSAN