Getah beku RM4.8 juta ada serangga dirampas - Utusan Malaysia

Getah beku RM4.8 juta ada serangga dirampas

Susu getah beku dirampas Maqis Selangor sebaik tiba di Pelabuhan Klang di Klang hujung bulan lalu.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KLANG: Tiga buah syarikat membawa susu getah beku ada serangga perosak dalam 66 kontena membawa padah apabila pengangkutan itu ditahan di Pelabuhan Klang Barat hujung November lalu.

Dalam serbuan pukul 10 pagi, Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (Maqis) menahan sebuah kapal membawa susu getah beku seberat 577,708 kilogram dianggarkan bernilai lebih RM4.8 juta.

Pengarah MAQIS Selangor, Dr. Tarmisal Alimin berkata,  pemeriksaan lanjut mendapati terdapat serangga perosak dikenali ‘black soldier fly’ di atas kapal tersebut. 

“Susu getah beku itu diimport dari Ghana dan dipercayai digunakan untuk tujuan pembuatan tayar. 

“Tiga syarikat  membawa masuk kontena itu. Kita mengarahkan mereka untuk melakukan fumigasi terlebih dahulu sebelum kapal berlabuh di Pelabuhan Klang Barat,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini. 

Menurut Tarmisal, kesemua syarikat itu disiasat mengikut kesalahan Seksyen 14 (a) Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia 2011. 

Jika sabit kesalahan, mereka boleh didenda maksimum RM100,000 atau penjara tidak melebihi enam tahun atau kedua-duanya sekali.

“Menjadi satu kesalahan mengimport tumbuhan, binatang, karkas, ikan, keluaran pertanian, tanih atau mikroorganisma yang mempunyai bahan perosak dan berpenyakit,” ujarnya. 

Dalam pada itu, ujarnya lagi, MAQIS sentiasa teliti dalam menjalankan pemeriksaan bagi keluaran pertanian yang diimport ke dalam negara agar bebas  ancaman perosak. 

“Kawalan ini penting bagi mengelak sebarang penyakit atau pencemaran yang boleh menjejaskan sektor pertanian, keselamatan makanan dan kesihatan manusia,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya