MELAKA: Polis mematahkan kegiatan mencuri tabung ekzos kereta dipercayai untuk mendapatkan serbuk emas putih selepas tertangkapnya tujuh individu aktif melakukan jenayah itu.
Kesemua suspek lelaki berusia 19 hingga 42 tahun termasuk seorang lepasan Diploma Kejuruteraan Mekanikal dari sebuah institusi pengajian tinggi (IPT) ditahan dalam beberapa siri tangkapan sejak 18 sehingga 25 November lalu.
Timbalan Ketua Polis negeri, Datuk Shahrul Lalli Masduki berkata, tangkapan ahli Geng Emas Putih tersebut membawa kepada penemuan semula 65 buah tabung ekzos, sekali gus menyelesaikan 30 kes yang dilaporkan sebelum ini.
Menurut beliau, kumpulan diketuai seorang lelaki berusia 38 tahun itu dipercayai menyasarkan kenderaan pelbagai guna (MPV) seperti Naza Ria dan ‘continental’ (buatan Eropah) yang diletakkan di hadapan rumah atau bengkel.
“Barang yang dicuri akan dijual kepada seorang suspek berusia 39 tahun yang bertindak sebagai pembeli dengan anggaran harga sehingga RM1,600 untuk ekzos Naza Ria atau serendah RM600 bagi Perodua Myvi.
“Pembeli itu kemudian akan menjual tabung-tabung ekzos berkenaan ke negara luar yang mempunyai teknologi mengeluarkan serbuk emas putih bernilai tinggi dalam pasaran,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini
Shahrul Lalli berkata, risikan mendapati kumpulan itu mengambil masa hanya kira-kira lima hingga 10 minit untuk menanggalkan skru atau memotong tabung ekzos sebelum dilarikan.
“Hasil risikan membabitkan kejadian curi tabung ekzos di Batu Berendam, kita mengesan satu kumpulan yang aktif mencuri komponen itu dalam daerah Melaka Tengah.
“Justeru, sejak 18 November, pasukan risikan telah menjalankan beberapa siri serbuan di kawasan Tanjung Minyak, Malim serta Durian Tunggal dan menangkap tujuh suspek yang digelar Geng Emas Putih,” katanya.
Tambahnya, polis merampas masing-masing dua buah kereta dan motosikal berserta pelbagai peralatan digunakan dalam kegiatan tersebut.
Katanya, kesemua suspek direman sehingga esok bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 379A(1) Kanun Keseksaan kerana mencuri kompenan kenderaan. – UTUSAN