PUTRAJAYA: Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) memaklumkan gangguan jadual bagi operasi komuter dan perkhidmatan tren elektrik (ETS) meliputi dua sektor di Lembah Klang.
Menurut kenyataan syarikat rel berkenaan menerusi laman sosial rasminya hari ini, ia susulan insiden kabel elektrik yang terputus lewat semalam antara stesen Sungai Buloh dan Kepong.
Perkhidmatan komuter yang terlibat ialah sektor destinasi Pelabuhan Klang – Tanjung Malim – Pelabuhan Klang dengan tren dari stesen Pelabuhan Klang ditamatkan di stesen Kepong.
Sementara tren dari stesen Tanjung Malim pula akan berakhir di stesen Sungai Buloh kerana tiada perkhidmatan komuter yang dapat beroperasi antara stesen Kepong dan Sungai Buloh.
“Manakala bagi para penumpang ETS untuk sektor KL Sentral – Padang Besar – Butterworth, perkhidmatan berkenaan akan bermula dan tamat di stesen Rawang,” kata kenyataan KTMB.
Justeru, khidmat bas perantara akan disediakan pihak operator rel tersebut bagi membawa semua penumpang dari stesen KL Sentral ke stesen Rawang dan begitulah juga sebaliknya.
KTMB memohon maaf atas sebarang kesulitan dan untuk maklumat lanjut, sila hubungi talian Pusat Panggilan KTMB di 03-2267 1200 atau dengan melayari akaun Facebook KTM Berhad. -UTUSAN