Gaduh di Low Yat: Enam didenda RM800 - Utusan Malaysia

Gaduh di Low Yat: Enam didenda RM800

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Enam lelaki didenda RM800 atau penjara sebulan oleh Mahkamah Majistret hari ini kerana terlibat dalam pergaduhan di sebuah pusat membeli belah di sini yang video kejadiannya tular dalam laman sosial, minggu lalu.

Haikal Izwaanfazeede Razak, 29, Muhammad Johan Perumal , 34, Muhammad Farid’ Izzat Dzulkafli , 23, Muhammad Yadiy Na’im Dzulkafli, 27, Ismail Arif Haron, 31, dan Muhammad Dzulhakim Dzulkafli, 21, didenda selepas mereka mengaku bersalah atas pertuduhan yang dikenakan.

Turut mengaku bersalah atas pertuduhan sama ialah seorang remaja lelaki di bawah umur.

Majistret Tawfiq Affandy Chin bagaimanapun tidak menjatuhkan hukuman terhadap remaja itu sementara menunggu laporan sosial daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

Mahkamah kemudian membenarkan remaja itu selaku Orang Kena Saman (OKS) diikat jamin RM1,500 dengan seorang penjamin serta menetapkan 8 Februari depan untuk sebutan kes.

Mereka didakwa bersama-sama melakukan gaduh gempar dengan cara bergaduh di tempat awam hingga mengganggu ketenteraman awam di Plaza Low Yat, Jalan Bulan, Off Jalan Bukit Bintang di sini pukul 5 petang pada 4 Disember lalu.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 160 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum enam bulan atau didenda tidak lebih RM1,000 atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Terdahulu, sebelum hukuman dijatuhkan Tawfiq Affandy menasihati semua OKS tidak bertindak mengikut hati dan perasaan memandangkan kejadian sebegini memalukan dan menjejaskan imej negara.

“Kejadian seperti ini akan menyebabkan pelancong takut. Sepatutnya perkara ini perlu dielakkan dan kamu sepatutnya tinggalkan tempat itu dan membuat laporan kepada pihak polis,” katanya.

Dalam prosiding itu, salah seorang daripada OKS itu memberitahu mahkamah bahawa pergaduhan ini berlaku disebabkan perselisihan faham termasuk tertekan kerana sukar mendapatkan pelanggan.

Terdahulu Timbalan Pendakwa Raya, Nurilya Ellyna Nor Azmal memohon hukuman setimpal berbentuk pengajaran dengan mengambil kira kes seperti ini semakin meningkat dan kejadian itu berlaku di tempat awam.

Namun kesemua OKS yang masing-masing tidak diwakili peguam merayu hukuman denda dengan alasan mereka menanggung keluarga, isteri dan anak-anak masih kecil.

Pada 4 Disember lalu, seramai 42 individu dilaporkan ditahan berhubung kejadian pergaduhan yang berlaku di sebuah pusat beli-belah, di sini yang difahamkan tercetus susulan salah faham di antara peniaga komputer yang menjalankan perniagaan di pusat beli-belah tersebut. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN