Gadis lembam hilang ditemukan selamat - Utusan Malaysia

Gadis lembam hilang ditemukan selamat

NURUL NAJWA MOHD. AKHIR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SUNGAI PETANI: Gadis orang kurang upaya (OKU) kategori lembam yang dilaporkan hilang selepas keluar berjumpa seorang wanita yang dipanggil ‘Kak Long’ Isnin lalu, ditemukan selamat petang semalam.

Nurul Najwa Mohd. Akhir, 22, ditemukan  berlegar-legar di pusat beli-belah Aman Jaya Mall di sini oleh sepupunya pada pukul 6.30 petang.

Abangnya, Muhammad Nasiruddin ketika dihubungi hari ini berkata, ketika dijumpai, Nurul Najwa dalam keadaan sihat dan mengenali sepupunya itu.

“Sepupu saya yang bertugas sebagai jurujual di pusat beli-belah itu meminta Nurul Najwa  bertenang selepas menemukannya sebelum memaklumkan kepada keluarga.

“Saya kemudian membuat laporan polis berkaitan penemuan itu di Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Muda,” katanya.

Menurut Muhammad Nasiruddin, mereka sekeluarga bersyukur selepas adiknya itu ditemukan dan akan lebih memantau pergerakannya selepas ini bagi mengelak kejadian sama berulang.  

Sementara itu Timbalan Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Superintenden Anuar Abdul Rahman yang dihubungi mengesahkan penenemuan gadis lembam  itu.

Semalam, Nurul Najwa dilaporkan tidak pulang ke rumahnya di Taman Seri Indah, Tupah, Merbok selepas mendapat kebenaran keluarga untuk berjumpa dengan seorang kenalannya yang dipanggil ‘Kak Long’ di Sungai Layar dekat sini sejak petang Isnin lalu.

Bagaimanapun, gadis tersebut tidak pulang ke rumahnya pada hari tersebut dan ahli keluarganya mencarinya di merata-rata tempat sebelum membuat laporan polis.

Kehilangan Nurul Najwa menjadi viral selepas keluarganya membuat hebahan melalui media sosial meminta orang ramai membantu mencari gadis tersebut. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya