PUTRAJAYA: Kerajaan merancang memodenkan perkhidmatan feri Pulau Pinang yang lebih berdaya tahan demi keselamatan penumpang agar ia boleh terus dinikmati rakyat tempatan dan pelancong.
Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Dr. Wee Ka Siong berkata, perkara itu disampaikan beliau kepada Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow dalam pertemuan hari ini.
Katanya, kedua-dua pihak turut bersetuju perkara-perkara yang diputuskan bersama dalam mesyuarat pada 27 Ogos lalu di Parlimen dapat diteruskan demi kebaikan semua pihak.
“Adalah ditegaskan bahawa keselamatan penumpang adalah keutamaan kami. Oleh itu kami membuat keputusan memodenkan perkhidmatan feri ini demi keselamatan dan keselesaan penumpang,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau mengulas berhubung kekesalan beberapa pihak atas keputusan untuk menyediakan perkhidmatan feri Pulau Pinang yang lebih selamat, cepat dan mengurangkan kos penyelenggaraan disebabkan faktor feri berusia 47 tahun itu perlu diselenggara secara purata sebulan sekali.
Menurut Ka Siong, fasa pemodenan perkhidmatan feri dimulakan dengan memperkenal tiga bas air (untuk penumpang) bermula 1 Januari ini.
Katanya, ia diikuti dengan dua pengangkut kenderaan yang hanya membawa kenderaan bermotor dua roda (seperti motosikal dan basikal) yang bakal beroperasi mulai 2022.
Kedua-dua perkara itu, kata beliau, adalah seperti dijelaskan dalam kenyataan Suruhanjaya Pelabuhan Pulau Pinang (SPPP) dan Penang Port Sdn Bhd (PPSB) pada 15 Disember lalu.
“Menteri Kewangan, Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz dalam Dewan Rakyat pada 17 Disember lalu turut mengatakan bahawa sejumlah RM30 juta diperuntukkan bagi tujuan pemodenan perkhidmatan ini yang akan disalurkan melalui dua bayaran pada tahun depan dan 2022,” katanya.
.
Dalam pada itu, beliau berkata, lebih ramai pengguna kenderaan motor dijangka menggunakan Jambatan Pulau Pinang dan Jambatan Sultan Abdul Halim Muadzam Shah untuk perjalanan antara tanah besar di Seberang Perai dan pulau yang lebih selamat, cepat dan lebih murah berbanding feri.
Oleh itu, katanya, sebagai langkah sementara, PPSB menyediakan dua bot penumpang laju untuk membawa penumpang serta mendapatkan perkhidmatan feri milik Prasarana bagi mengangkut kenderaan dua roda dalam usaha membantu proses peralihan ke kapal baharu dalam tempoh ini.
PPSB juga jelas beliau, menawarkan perkhidmatan bot laju secara percuma kepada penumpang untuk 2 minggu mulai 1 Januari ini.
“Bagi mengekalkan sejarah ikonik Pulau Pinang ini, kami mempertimbang idea sebagaimana yang dicadangkan beberapa pihak untuk menjadikan feri sedia ada sebagai restoran terapung, muzium atau pelayaran pelancongan.
“Cadangan ini akan dapat memperingati sumbangan feri-feri Pulau Pinang kepada identiti kebudayaan dan warisan negeri ini,” katanya.
Perkhidmatan feri Pulau Pinang yang menghubungkan tanah besar di Seberang Perai dengan pulau di negeri ini sejak 126 tahun lalu merupakan perkhidmatan feri paling bersejarah dalam negara. – UTUSAN ONLINE