JOHOR BAHRU : Laman rasmi Facebook Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar kini berjaya mencapai sejuta sejuta pengikut pada hari ini sekali gus menjadi Raja pertama dalam kalangan Raja-Raja Melayu mempunyai sejuta pengikut di laman Facebook.
Perkara itu dimaklumkan menerusi hantaran terbaharu Facebook Baginda pada hari ini.
“Hari ini laman Facebook saya sudah mencecah satu juta pengikut. Terima kasih semua,” titah Sultan Ibrahim dalam Facebook Baginda.
Dalam pada itu Royal Press Office (RPO) dalam kenyataan memaklumkan angka itu dicapai pada pukul 8.37 pagi hari ini.
Jelas kenyataan itu, laman Facebook rasmi Baginda, ‘Sultan Ibrahim Sultan Iskandar’ turut mempunyai 898,159 likes pada waktu penulisan.
Daripada sejuta pengikut itu, 321,118 daripadanya adalah dari negeri Johor, diikuti Kuala Lumpur (103,745) dan Singapura (46,585).
Laman rasmi Facebook Sultan Johor yang mula beroperasi sejak 31 Mei 2015 turut menunjukkan majoriti pengikut Baginda adalah golongan lelaki (59 peratus) yang kebanyakannya dalam kategori umur 25-34 tahun (40 peratus).
“Selain itu, laman Facebook berkenaan memaparkan pelbagai pengisian yang berguna di samping maklumat-maklumat tentang aktiviti serta program Sultan Johor bertujuan memaklumkan dan mendidik rakyat akan peranan Baginda sebagai Sultan Johor.
“Pengisian dikongsi dalam bentuk berita, gambar serta video. Baginda juga mempunyai ikutan yang ramai di Instagram serta YouTube,” kata kenyataan itu.
Kata kenyataan itu, populariti Sultan Ibrahim meningkat dari semasa ke semasa hasil perkongsian Baginda mengenai perihal rasmi serta perkongsian istimewa hobi-hobi seperti memasak dan bersukan.
“Halaman itu, bukan sahaja menyiarkan pelbagai aktiviti-aktiviti serta sumbangan mengenai Sultan Johor dan Keluarga Diraja Johor, malah menjadi ruangan yang membolehkan rakyat turut menyampaikan pandangan atau idea mereka,” ujar kenyataan itu.- UTUSAN ONLINE