REMBAU: Selepas hilang pekerjaan sebagai tukang masak ekoran pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), Azad Mohd. 37, kembali bangkit dengan menjual nasi lemak bersama isterinya, Nur Quraini Mohd. Sabri, 30, di hadapan Masjid Pedas dekat sini, sejak Jun lalu.
Jualan nasi lemaknya itu mendapat sambutan dan laku sehingga 600 bungkus setiap hari dengan harga hanya RM1 sebungkus.
Disangka panas hingga ke petang namun hujan di tengah hari. Azad kini lumpuh separuh badan selepas mengalami pendarahan dalam kepala sejak 1 Disember lalu yang memerlukan penjagaan rapi.
Nur Quraini berkata, tugas menyediakan nasi lemak kini perlu dilakukannya sendiri bagi menampung kos kehidupan termasuk perbelanjaan membesarkan empat anak mereka.
“Suami sebelum ini hampir dua tahun bekerja sebagai tukang masak di sebuah kedai di Pedas. Disebabkan PKP, kedai makan tersebut sudah lama tidak dibuka dan kami bertekad berniaga sendiri menjual nasi lemak bagi mencari rezeki,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia dalam Program Sumbangan Pertubuhan Kebajikan Asnaf Setia Kasih Negeri Sembilan (PerkasihN9) di Kampung Minching, dekat sini, semalam.
Menurut Nur Quraini, suaminya itu dibenarkan keluar dari wad Hospital Tuanku Ampuan Najihah (HTAN) di Kuala Pilah, kelmarin setelah 27 hari mendapatkan rawatan rapi di sana.
Katanya, sepanjang suaminya berada di hospital, dia masih menjual nasi lemak dan hanya mampu menyediakan kira-kira 400 bungkus sehari.
“Buat masa ini saya terpaksa berhenti dahulu daripada menjual nasi lemak kerana menjaga suami yang memerlukan penjagaan rapi. Dia perlu memakai lampin pakai buang selain diberikan susu khas setiap tiga jam sekali,” katanya.
Wanita itu bimbang tidak mampu menampung kos susu dan lampin pakai buang diperlukan Azad yang dianggarkan sebanyak RM1,500 setiap bulan selain sewa rumah RM300 sebulan.
Sehubungan itu, katanya, dia kini dalam proses permohonan mendapatkan bantuan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Baitulmal dan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) bagi meringankan beban kewangan terutama bagi membesarkan anak yang berusia lima bulan hingga lapan tahun.
Orang ramai yang ingin menghulurkan sumbangan boleh menyalurkannya menerusi akaun Maybank 164397964847 atas nama Nur Quraini Mohd. Sabri.