GUA MUSANG: Unit Udara Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) hari ini melakukan penerbangan pemindahan perubatan (Medevac) membawa dua pesakit Orang Asli menghidap demam panas ke Hospital Gua Musang, di sini.
Dua pesakit terbabit ialah bayi lelaki berusia empat bulan, Khairilnizam Aga dan seorang lelaki warga emas, Amata Alip, 63, yang tinggal di Pos Balar.
Pegawai Perhubungan Awam Unit Udara JBPM Pangkalan Subang, Penolong Penguasa Bomba, Mohd. Farhan Marzuki berkata, penerbangan itu berlepas dari Pangkalan Udara Subang pada pukul 10.45 pagi.
Katanya, operasi menggunakan helikopter Agusta A109 E selamat mendarat di Pos Balar pada pukul 12 tengah hari.
“Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa) memohon helikopter untuk membawa pesakit yang kurang sihat sejak tiga hari lalu itu kerana jalan perhubungan darat ke kampung mereka rosak teruk ekoran hujan berterusan.
“Sebaik sahaja sampai, pesakit dewasa yang menghidap asma diusung menaiki helikopter bersama bayi lelaki yang turut diiringi ahli keluarga,” katanya.
Mohd. Farhan berkata, helikopter mendarat dengan selamat di pekarangan Balai Bomba dan Penyelamat Gua Musang pada pukul 12.30 tengah hari.
Penerbangan itu diketuai juruterbang, Timbalan Penguasa Bomba II, Mohd. Faizal Abd. Latif sambil dibantu penolong juruterbang, Penolong Penguasa Bomba, Fazli Ezham Jamil. – UTUSAN ONLINE