Dua penyamun premis ejen insurans dicekup - Utusan Malaysia

Dua penyamun premis ejen insurans dicekup

TANGKAP layar video memaparkan pekerja syarikat ejen insurans (kiri) disembur sejenis bahan dipercayai serbuk lada oleh suspek dalam kejadian samun di sebuah premis di Taman Intan, Sungai Petani, Kedah, pada 2 Disember lalu.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SUNGAI PETANI: Dua lelaki yang diburu polis kerana disyaki terlibat kes samun di sebuah premis ejen insurans di Taman Intan, di sini pada 2 Disember lalu ditahan semalam..

Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Adzli Abu Shah berkata, sepasukan anggota polis dari Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Muda menahan dua suspek berumur 26 dan 27 tahun itu di dua lokasi berasingan di daerah ini pada pukul 4 petang.

“Suspek pertama berusia 27 tahun dikenali sebagai Wan Black seorang penganggur ditahan di Bandar Utama, di sini bersama sebotol gas pemedih mata yang dipercayai digunakan untuk menyembur mata mangsa dalam kejadian itu.

“Suspek kedua berumur 26 tahun dan dipanggil Pipit bekerja sebagai kelindan lori ditahan di Batu 2, Jalan Kuala Ketil bersama sebilah pisau berukuran 24 sentimeter yang disyaki bahan bukti dalam kejadian itu,” katanya di sini hari ini.

Menurut Adzli, semakan rekod mendapati suspek kedua mempunyai empat kesalahan jenayah lampau manakala suspek kedua satu kes membabitkan samun dan kedua-duanya negatif dadah.

“Kedua-dua suspek mengaku terlibat dalam kejadian samun itu dan kini dikenakan perintah reman oleh Mahkamah Majistret Sungai Petani enam hari bermula hari ini untuk membantu siasatan mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan,” ujarnya.

Dalam kejadian pada 2 Disember lalu, seorang ejen insurans mengalami kerugian RM200 selepas premis ejen insurans di Taman Intan disamun dua lelaki.

Mangsa wanita berusia 50 tahun turut disembur dengan satu bahan sebelum diacu pisau oleh seorang lelaki yang memakai topi keledar dan pelitup muka yang masuk ke dalam premis kononnya mahu membayar cukai jalan kenderaannya.

Rakan subahat lelaki yang berada di luar premis menendang pintu kaca sehingga pecah selepas dia gagal masuk ke dalam premis kerana pintu dipercayai berkunci sebelum dua suspek itu melarikan diri dengan sebuah motosikal.

Kejadian samun pada pukul 2.16 itu dirakam kamera litar tertutup (CCTV) di premis berkenaan. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya