JOHOR BAHRU: Dua pegawai Jabatan Imigresen dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas dakwaan menerima suapan bagi mendapatkan perakuan cap keluar dan masuk passport warga asing tanpa perlu keluar dari negara.
Seorang tertuduh, Azhar Ahmad M. Salbi, 27, mengaku bersalah atas pertuduhan pilihan menerima suapan berjumlah RM1,250 daripada dua ejen antara 20 Februari hingga sembilan April 2018.
Hakim Kamarudin Kamsun menjatuhkan hukuman penjara 12 bulan terhadap tertuduh bermula tarikh tangkap dan denda RM20,000 atau gagal bayar, penjara enam bulan.
Berdasarkan kertas pertuduhan, dia didakwa menerima wang suapan daripada dua ejen lelaki sebanyak RM500 dan RM750 di Bangunan Sultan Iskandar (BSI) di sini.
Azhar Ahmad yang tidak diwakili peguam didakwa mengikut Seksyen 2 (A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 (Akta 694).
Sementara itu, di mahkamah sama seorang lagi tertuduh, Syafik Abu Khalipah, 25, mengaku tidak bersalah atas tujuh pertuduhan menerima suapan berjumlah RM24,395, tahun lalu.
Berdasarkan kertas pertuduhan, lelaki itu didakwa menerima suapan bagi mendapatkan perakuan cap keluar dan masuk passport warga asing tanpa mereka perlu keluar dari negara antara 22 Oktober 2019 hingga 17 Mac lalu.
Dia didakwa menerima wang suapan daripada dua lelaki.
Kamarudin kemudian menetapkan jaminan berjumlah RM40,000 dengan seorang penjamin manakala pasport milik tertuduh perlu diserah kepada mahkamah dan dia diminta melapor diri setiap bulan di pejabat SPRM.
Mahkamah menetapkan tarikh 21 Januari ini untuk sebutan semula kes.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya SPRM, Suhaimi Sapun sementara Syafik diwakili peguam K. Kalaicelran dan G. Kamala. – UTUSAN ONLINE